PT3 2016: Pelajar MRSM Lulus 100%

pt3

Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) kekal cemerlang apabila para pelajarnya mencatat keputusan kelulusan 100% pada peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) 2016.

Menurut Pengerusi MARA, Tan Sri Datuk Seri Panglima Annuar Haji Musa, seramai 6,499 orang pelajar Tingkatan Tiga dari 45 buah MRSM seluruh negara telah menduduki peperiksaan ini.

“Dari jumlah ini, seramai 543 orang pelajar berjaya memperoleh gred “A” dalam semua mata pelajaran, meningkat kepada 8.42% berbanding 7.81% pada tahun 2015,” katanya.

Menurutnya lagi, seramai 1,014 pelajar mencatat keputusan 9A (15.6%), 1,455 8A (22.39%) serta 1,467 berjaya mendapat keputusan 7A (22.57%) manakala seramai 1,184 pelajar telah mencatat 6A (18.22%) dan statistik mereka yang mencatat keputusan di bawah 5A adalah seramai 836 orang (12.87%).

“Pencapaian MRSM turut meningkat dalam 8 subjek PT3 bagi gred purata subjek (GPS) iaitu Bahasa Melayu Ujian Bertulis, Bahasa Melayu Ujian Lisan, Bahasa Inggeris Ujian Lisan, Geografi, Sains, Matematik, Pendidikan Islam dan Bahasa Arab,” katanya lagi.

Beliau menegaskan, kecemerlangan ini adalah berpaksikan keterbezaan program MRSM yang menjurus ke arah piawaian dunia melalui pemerkasaan pencapaian pelajar dalam STREAM (Science, Technology, Religion, Engineering, Arts, Mathematics) dan penerapan Information & Communication Technology (ICT) dalam pedagoginya.

Mengulas lanjut berkenaan kemasukan ke Tingkatan Empat MRSM melalui keputusan PT3, Annuar menyatakan sebanyak 2,000 tempat ditawarkan di empat (4) MRSM seluruh Malaysia pada 2017.

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.