Jerantut dibangunkan sebagai hab pendidikan

AHLI Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

AHLI Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris. – Foto Nik Abdullah Nik Omar

JERANTUT: Daerah ini akan dibangunkan sebagai hab pendidikan terkemuka negara menerusi pelaksanaan pelbagai kemudahan bermula tahun depan. Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris, berkata kerajaan komited merealisasikan hasrat berkenaan yang turut membabitkan penyediaan kursus pertanian dan pelancongan yang sesuai dengan keadaan daerah ini.

“Kita sedang berusaha menjadikan daerah ini hub pendidikan utama dengan menyediakan pelbagai prasarana pendidikan. Tahun depan, sebuah sekolah berasrama penuh akan dibina di Jalan Jerantut – Temerloh.

“Kita juga berusaha mewujudkan kampus cawangan beberapa universiti di negara ini dengan menyediakan kursus yang sesuai dengan daerah ini seperti teknologi pertanian dan pelancongan,” katanya ketika berucap pada majlis ‘Moh ke Sekolah’ dan penyampaian sumbangan bantuan persekolahan sumbangannya dan Sime Darby di Sekolah Kebangsaan (SK) Temin di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Sime Darby menyumbangkan sebanyak 200 beg sekolah kepada murid sekolah rendah dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Damak, Tembeling dan Pulau Tawar.

Ahmad Nazlan yang juga Pengerusi Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) berharap bantuan persekolahan yang disumbangkan kepada 5,200 murid sekolah rendah sekitar Parlimen Jerantut dapat meringankan beban ibu bapa.

Katanya, walaupun pemberian itu tidak besar namun ia sekurang-kurangnya dapat meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan persekolahan terutamanya yang mempunyai anak ramai.

“Sebagai bekas guru saya memahami situasi ibu bapa kurang berkemampuan untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak.

“Saya juga pernah mengalaminya kerana sebagai anak penoreh getah, kami adik beradik tidak berganti beg, baju dan kasut setiap tahun,” katanya.

Sumber : http://www.bharian.com.my/node/226883

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.