Satu Negeri Satu MARA Digital

ISMAIL SABRI YAAKOB beramah mesra dengan seorang peniaga sewaktu melawat Mara Digital di Kuala Lumpur, semalam. UTUSAN/ WAHIDAH ZAINAL

ISMAIL SABRI YAAKOB beramah mesra dengan seorang peniaga sewaktu melawat Mara Digital di Kuala Lumpur, semalam. UTUSAN/ WAHIDAH ZAINAL

KUALA LUMPUR 18 Dis. – Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan memperluaskan rangkaian pusat teknologi maklumat dan komunikasi, MARA Digital ke setiap nege­ri pada tahun hadapan ekoran perkembangan positif daripada orang ramai di Menara MARA di sini.

Menteri Kemajuan Luar Ban­dar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tahun hadapan MARA sudah merancang membuka lima MARA Digital iaitu di Wisma Air, Melaka; Plaza Paya Bunga Kuala Terengganu (Terengganu); Plaza Larkin, Johor Bahru (Johor); Bangunan MARA Kuantan (Pahang) dan di Kota Bharu (Kelantan).

“Kelima-lima pusat itu akan dibuka pada enam bulan pertama tahun hadapan sebelum diperluaskan ke negeri-negeri lain pada penghujung tahun 2017 dan sebanyak 170 usahawan disasarkan untuk lima pusat berkenaan.

“Kami telah mengenal pasti beberapa bangunan milik MARA atau kerajaan yang kurang digunakan sebagai pusat perniagaan itu dengan mengenakan kadar sewa berpatutan kepada usahawan,” katanya ketika lawatan ke MARA Digital di sini hari ini.

Ismail Sabri meluangkan masa melawat kedai-kedai di pusat itu sempena setahun pembukaannya.

Setakat ini terdapat dua MARA Digital yang sudah beroperasi iaitu MARA Digital di Anggerik Mall, Shah Alam dan MARA Digital, Menara MARA, Kuala Lumpur.

Beliau berkata, setakat November tahun ini MARA Digital telah mencatatkan jumlah jualan sebanyak RM18.4 juta termasuk di Anggerik Mall iaitu RM1.02 juta walaupun baru lima bulan bero­perasi.

Menurutnya, walaupun ketika pembukaannya dahulu ramai berasa ragu, dengan jualan yang memberangsangkan, MARA Digital mempunyai potensi besar men­yumbang kepada sektor perniagaan bumiputera.

Tambahnya, seramai 27 usahawan telah mendapat manfaat serta memberi peluang pekerjaan kepada lebih 240 orang dalam meningkatkan taraf ekonomi mereka.

“Bagi peniaga MARA Digital, MARA menyediakan bantuan pinjaman, skim latihan dan sebagainya bagi memperluas dan memajukan perniagaan mereka, selain enam bulan sewa percuma,” katanya.

Sumber : https://www.utusan.com.my/berita/nasional/satu-negeri-satu-mara-digital-1.421537

Advertisements
This entry was posted in Korporat, Pelaburan and tagged . Bookmark the permalink.