Yayasan MARA beroperasi Januari

mara-logogogog-transformed-transformed_0

SINTOK: Yayasan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semasa sambutan 50 tahun MARA April lalu, akan memulakan operasinya Januari ini.

Pengerusi MARA, Tan Sri Annuar Musa, berkata Yayasan MARA yang dahulunya dikenali sebagai Yayasan Pelajaran MARA (YPM) akan meluaskan lagi skop bantuannya dan tidak hanya tertumpu kepada pelajaran sahaja.

Katanya, setiap tahun MARA menyumbangkan RM20 juta kepada YPM dan dana itu akan ditambah pada masa akan datang dengan adanya Yayasan MARA.

“Melalui yayasan baharu ini, kita akan perluaskan skop ke arah keusahawan dan pelaburan. Penukaran YPM kepada Yayasan MARA ini juga akan memantapkan tanggungjawab sosial korporatnya kepada jumlah penerima yang lebih ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sesi Dialog bersama Tan Sri Annuar Musa di Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini, hari ini.

Annuar berkata, seiring dengan keluasan skop yayasan baharu itu, MARA akan menjalin kerjasama dengan China dengan menghantar pelajar ke negara itu dalam bidang kejuruteraan.

“Sebelum ini menerusi YPM, biasiswa ditawarkan untuk pelajar ke Jepun, Jerman, Perancis dan United Kingdom, namun kali ini pelajar akan dihantar ke China kerana kita sedia maklum negara itu ketika ini adalah kuasa baharu ekonomi dunia,” katanya.

Pada April lalu, Perdana Menteri mengumumkan lima inisiatif memperkasa hala tuju MARA bagi tempoh 50 tahun akan datang meliputi penubuhan MARA Corporation Berhad, Rural Capital Berhad dan UniMARA. Najib berkata, YPM akan diubah kepada Yayasan MARA bagi membolehkan yayasan itu meluaskan bantuannya dan tidak hanya tertumpu kepada pelajaran.

Sumber : http://www.bharian.com.my/node/225124

Advertisements
This entry was posted in Korporat, Pendidikan and tagged . Bookmark the permalink.