MARA Digital Mall catat jualan RM18.4 juta

image

KUALA LUMPUR 18 Dis. – Pusat teknologi maklumat dan komunikasi (IT), Mara Digital Mall mencatat jualan berjumlah RM18.4 juta sehingga November lalu.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah jualan itu sekali gus menangkis pandangan sinis pihak tertentu yang kononnya Mara Digital Mall tidak akan bertahan lama.

“Ini satu jumlah yang memberangsangkan. Kami juga dapati penyewa yang mendapat sewa percuma selama enam bulan meneruskan perniagaan mereka menandakan pasaran mereka di sini (Mara Digital Mall) adalah baik,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Mara Digital Mall di Bangunan Mara di sini hari ini.

Beliau berkata, jumlah berkenaan termasuk jualan berjumlah RM1.02 juta di Anggerik Mall, Shah Alam yang dibuka sejak enam bulan lepas.
Mara Digital Mall Kuala Lumpur dilancarkan 8 Disember tahun lalu dan kini mempunyai 38 lot perniagaan dengan 27 usahawan IT.

Sementara itu, bagi 2017, lima lokasi lagi dikenal pasti di seluruh negara bagi pembukaan pusat IT berkenaan.

Ini termasuk di Bangunan Air Melaka, di Melaka, Plaza Paya Bunga, Kuala Terengganu (Terengganu), Plaza Larkin, Johor Bahru (Johor), Bangunan Mara Kuantan (Pahang) dan di Kota Bahru, Kelantan, yang dijangka dibuka pada Mac hingga Julai tahun depan.

“Bagi negeri yang belum dikenal pasti lokasinya kami akan usahakan, kerana kami sasarkan sekurang-kurangnya setiap negeri mempunyai satu digital mall menjelang akhir tahun depan,” katanya.

Tambahnya, Mara Digital akan meneruskan konsep dibuka di bangunan Mara atau kerajaan yang kurang mendapat sambutan orang ramai bagi melonjakkan ekonomi di lokasi berkenaan.

“Kami sasarkan di setiap lokasi yang dibuka akan memanfaatkan minimum 30 usahawan IT dari negeri berkenaan,” katanya. – BERNAMA

Sumber : http://m.utusan.com.my/berita/nasional/mara-digital-mall-catat-jualan-rm18-4-juta-1.421361#sthash.iPkscvuj.dpuf

Advertisements
This entry was posted in Korporat, Pelaburan and tagged . Bookmark the permalink.