MARA Digital catat nilai jualan RM18.4j tahun ini

ISMAIL Sabri melawat MARA Digital sempena setahun pembukaan MARA Digital di Medan MARA, Kuala Lumpur. - Foto Azhar Ramli

ISMAIL Sabri melawat MARA Digital sempena setahun pembukaan MARA Digital di Medan MARA, Kuala Lumpur. – Foto Azhar Ramli

KUALA LUMPUR: MARA Digital, pusat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang dikendalikan sepenuhnya Bumiputera, mencatatkan nilai jualan RM18.4 juta sejak dibuka setahun lalu.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata beliau berpuashati dengan pencapaian membanggakan itu sekali gus menutup mulut pihak tertentu yang pesimis dengan mengatakan pusat ICT berkenaan akan ditutup dalam tempoh tiga bulan selepas beroperasi.

“Selepas setahun pembukaannya, MARA Digital membuktikan ia terus bertahan dan maju walaupun selepas enam bulan pengusaha kena membayar sewa. Sebelum ini kita beri tempoh enam bulan sewa percuma.

“Berdasarkan maklum balas diterima, usahawan mampu bertahan malah mendapat sambutan dalam kalangan orang ramai. Ini membuktikan cakap-cakap negatif mengenai pusat ini tidak betul, ” katanya selepas mengadakan lawatan mengejut ke MARA Digital Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Mengiringi beliau, Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad; Timbalan Pengarah Khidmat Pengurusan, Azhar Abdul Manaf dan Pengarah Bahagian Industri Komersial MARA, Zulkifli Osman.

Ismail Sabri turut mengumumkan semua negeri akan membuka MARA Digital sekurang-kurang satu pusat di setiap negeri.

“Menjadi harapan kita bermula Mac sehingga akhir tahun depan setiap negeri akan ada satu MARA Digital.

“Kita utamakan lokasinya di bangunan dan pusat perniagaan milik MARA terutama yang kurang mendapat sambutan sebagai salah satu usaha membantu promosi kawasan berkenaan, “katanya.

Sumber : http://www.bharian.com.my/node/225049?m=1

Advertisements
This entry was posted in Korporat, Pelaburan and tagged . Bookmark the permalink.