D’MARA Uptown Hidupkan Malam Parit Buntar

Suasana meriah setiap kali DMara Uptown dibuka pada Sabtu dan Ahad.

Suasana meriah setiap kali DMara Uptown dibuka pada Sabtu dan Ahad.

PARIT BUNTAR 12 Dis. – Pembukaan pusat perniagaan D’MARA Uptown Parit Buntar di pekarangan bangunan MARA Kerian dekat sini baru-baru ini merancakkan lagi aktiviti perniagaan di daerah ini.

Setakat ini, pusat perniagaan itu menyediakan 40 tapak niaga menjual barangan keperluan seharian, kosmetik, permainan kanak-kanak dan perkhidmatan yang dibuka setiap Sabtu dan Ahad se­awal pukul 7 malam hingga 2 pagi yang menghidupkan Parit Buntar pada waktu malam.

D’MARA Uptown Parit Buntar menerima pengiktirafan sebagai satu-satunya bazar berkonsepkan uptown di negeri ini yang dikelolakan Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Pegawai MARA Daerah Kerian, Syamsul Anuar Roslili berkata, objektif utama penganjuran bazar itu ialah untuk menyahut seruan kerajaan negeri yang menggalakkan pentadbir setiap daerah mempertingkatkan lokasi ekopelancongan sempena Tahun Melawat Perak 2017.

Menurutnya, langkah mewujudkan D’MARA Uptown amat tepat apatah lagi ia terletak di lokasi strategik di kawasan sempadan Pulau Pinang dan Kedah. Katanya, bazar itu menjana ekonomi aktiviti penduduk di Parit Buntar pada sebelah malam setelah sebelum ini aktiviti perniagaan amat berkurangan pada waktu malam dengan majoriti peniaga lebih selesa menutup awal premis masing-masing.

“D’MARA Uptown juga membolehkan pelancong yang datang ke daerah ini bersantai dan membeli belah pada waktu malam,” katanya di sini baru-baru ini.
Syamsul Anuar berkata, D’MARA Uptown memberi lebih banyak pilihan kepada orang ramai untuk mendapatkan barang keperluan selain menyediakan peluang perniagaan kepada peniaga bumiputera. Menurutnya, pusat perniagaan itu juga menganjurkan pelbagai program pengisian bermanfaat untuk semua peringkat umur.

“D’MARA Uptown menganjurkan aktiviti berkonsepkan riadah dan santai seperti pameran kelab santai pemotoran, pertandingan Street Soccer tiga lawan tiga dan persembahan oleh kumpulan busker tempatan,” katanya.

Syamsul Anuar berkata, walaupun D’MARA Uptown baru diperke­nalkan, kehadiran pengunjung adalah di luar jangkaan yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia dan latar belakang termasuk pelajar institusi pengajian tempatan di kawasan berdekatan.
“MARA dengan kerjasama Majlis Daerah Kerian (MDK) merancang menganjurkan program istimewa sempena menyambut kehadiran Tahun Baru 2017 di pekarang­an bazar D’MARA ­Uptown sebagai salah satu inisiatif mempromosi tempat ini,” katanya.

Menurut Syamsul Anuar, kadar sewa yang dikenakan di bazar itu amat rendah iaitu RM135 sebulan bagi satu lot tapak bertujuan membantu peniaga kecil.
“Ini memberi peluang kepada peniaga kecil dan penjaja bumiputera tempatan mencari pendapatan sampingan. Begitupun kami menetapkan barangan dijual mesti pada harga berpatutan, sesuai dengan konsep uptown,” katanya.

Sementara itu, peniaga di D’MARA Uptown memuji usaha berani MARA menganjurkan konsep perniagaan sedemikian. Peniaga barangan mainan, Razali Sharif, 51, berkata, kewujudan D’MARA Uptown dapat menggantikan pusat perniagaan ‘gerbang malam’ Bagan Serai sebelum ini.

“D’MARA Uptown menjadi me­dan anak muda mengikuti aktiviti hiburan sihat sekali gus mengelak mereka daripada terjebak dengan aktiviti tidak bermoral,” katanya.
Peniaga pakaian, Muhammad Ehsan Jaafar, 26, berkata, perniagaannya mendapat sambutan yang baik daripada pengunjung.

“Saya harap penduduk di Kerian memberi sokongan kepada kami yang berniaga di sini,” katanya. Seorang pengunjung, Mohd. Mustaqim Yahya,25, yakin nama D’MARA Uptown bakal dikenali di luar daerah ini. “Apa ditawarkan di sini tidak banyak beza daripada pusat perniagaan lain yang berkonsepkan uptown dengan harga berpatutan,” katanya.

Sumber : http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/perak/d-MARA-i-uptown-i-hidupkan-malam-parit-buntar-1.419263#sthash.Wy9mCZVs.dpuf

Advertisements
This entry was posted in Usahawan and tagged . Bookmark the permalink.