Mobilepreneur Untuk Usahawan GIATMARA

Jabar (kiri) mengiringi Shahiruddin (lima, kanan) menyampaikan enam buah motosikal Mobilepreneur kepada usahawan bidang jahitan dan elektrik GIATMARA. - Foto Sinar Harian

Jabar (kiri) mengiringi Shahiruddin (lima, kanan) menyampaikan enam buah motosikal Mobilepreneur kepada usahawan bidang jahitan dan elektrik GIATMARA. – Foto Sinar Harian

RAUB – GIATMARA akan membekalkan 3000 buah motosikal kepada pelatihnya yang menceburi bidang keusahawanan tahun depan membabitkan peruntukan sebanyak RM30 juta.

Timbalan Pegawai Eksekutif GIATMARA Bahagian Pengurusan Strategik dan Pembangunan Sumber, Jabar Azman Jaafar berkata, seramai 3000 bekas pelatih itu adalah mereka yang telah tamat latihan kemahiran pelbagai bidang.

Menurutnya, mereka akan diberikan sebuah motosikal ‘Mobilepreneur’ bernilai kira-kira RM10 000 bagi membolehkan mereka menjalankan perkhidmatan perniagaan secara bergerak.

“Pada tahun ini (2016) seramai 300 pelatih terpilih program usahawan Mobileprenenur tersebut di seluruh negara sekali gus memudahkan orang ramai mendapat perkhidmatan pantas selain memberikan pendapatan kepada pelatih tersebut.

“Kita yakin melalui program tersebut, pelatih dapat manfaatkan sepenuhnya ilmu kemahiran yang dipelajari di pusat GIATMARA untuk berbakti kepada masyarakat selain menjamin masa depan mereka sendiri,”katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas Program Corporate Social Responsibility GIATMARA (CSR) di Kampung Durian Sebatang, di sini.

Hadir sama, Adun Dong Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin, Adun Batu Talam, Datuk Datuk Abdul Aziz Mat Kiram serta Pegawai Daerah Raub, Datuk Khairulanuar Mahmood.

Jabar berkata, GIATMARA berusaha untuk melahirkan seberapa ramai pelatih terutamanya golongan belia dan lepasan sekolah dengan 39 kursus dan latihan bertaraf dunia disediakan yang boleh memenuhi pasaran pekerjaan negara.

“Menghasilkan tenaga kerja mahir adalah sasaran GIATMARA malah ia menjadi kelebihan buat mereka untuk memperoleh kerja selepas tamat pengajian teori dan kemahiran.

“Jadi, kita sarankan agar sesiapa yang berminat dan masih mencari haluan hidup menyertai GIATMARA sekali gus menimba ilmu dan kemahiran yang disediakan demi kebaikan jangka masa panjang,” katanya.

  • Sumber Sinar Harian
Advertisements
This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.