Mesin Toreh Getah Automatik UniKL MSI Johan MyInovasi 2016

Mary Yap Kain Ching menyampaikan geran RM50,000 kepada kumpulan pelajar UniKL MSI selepas muncul Johan Kemuncak Nasional dalam Majlis Penutupan MyInovasi 2016 Peringkat Nasional di Putrajaya, semalam. Bernama

Mary Yap Kain Ching menyampaikan geran RM50,000 kepada kumpulan pelajar UniKL MSI selepas muncul Johan Kemuncak Nasional dalam Majlis Penutupan MyInovasi 2016 Peringkat Nasional di Putrajaya, semalam. Bernama

PUTRAJAYA 2 Dis. – Hasil inovasi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Malaysia Spanish Institute (MSI), mesin menoreh getah automatik (MeMGA) dinobat sebagai Johan Kemuncak Nasional dalam Pertandingan Memasyarakatkan Inovasi Pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) 2016 (MyInovasi 2016) dan membawa pulang ha­diah geran RM50,000.

MeMGA, alat memotong kulit getah berkonsepkan putaran mata pisau seperti berus gigi bermotor mampu menoreh getah dengan lebih cepat tanpa menye­babkan kecacatan pada pokok getah dan ia berjaya menewaskan 14 finalis lain.

Ketua kumpulan penciptaan MeMGA, Muhamad Termizi Muhamad berkata, idea tercetus be­rikutan isu harga getah yang turun kepada sekitar RM3 sekilogram berbanding RM4 sekilogram pada tahun 2011.
“Ini adalah usaha kami bagi membantu golongan penoreh me­ningkatkan hasil susu getah kerana penoreh sering berhadapan masalah hasil yang sedikit apabila kulit getah sering rosak ketika menoreh (menggunakan pisau toreh biasa),” katanya kepada pemberita, di sini.

Hadiah disampaikan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching dalam majlis penutupan MyInovasi 2016 Peringkat Nasional di Kementerian Pendidikan Tinggi hari ini.
Ketika berucap dalam majlis itu Mary Yap berkata, dalam konteks inovasi, hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) dapat membawa kepada pengkomersialan produk dan pengkomersialan idea.

“Pengkomersialan idea adalah apabila IPT memberi perkhidmatan sebagai pakar perunding dan menyediakan penyelesaian kepada industri, menyampaikan latihan, menerbitkan buku dan menjalankan kontrak penyelidikan.

Sebagai contoh, antara tahun 2007 dan 2011 pulangan ke atas pelaburan (ROI) daripada pengkomersialan idea adalah RM1.25 bilion dan ini merupakan sumber menjana pendapatan yang lumayan dan berpotensi tinggi kepada IPT negara,” katanya.

Oleh itu, katanya, MyInovasi 2016 adalah platform terbaik untuk mencungkil dan mengetengahkan idea kreatif dan inovasi pelajar IPT khususnya siswazah dalam bidang masing-masing.
Pertandingan yang diperkenalkan pada 2012 dan diadakan setiap dua tahun itu bertujuan memupuk budaya inovasi dan kreativiti di kalangan penuntut IPT.

MyInovasi 2016 diadakan sejak 18 Julai lalu dengan dibahagikan kepada dua peringkat iaitu Peringkat Zon dan Peringkat Nasional yang menawarkan hadiah bernilai RM155,600.

Pertandingan itu terbuka kepada penuntut universiti awam, institusi pendidikan tinggi swasta, politeknik dan kolej komuniti. – BERNAMA

– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/mesin-toreh-getah-automatik-unikl-msi-johan-myinovasi-2016-1.415583#sthash.jljR3zfn.dpuf

Advertisements
This entry was posted in Berita Kejayaan, Pendidikan. Bookmark the permalink.