UNIKL MSI CUNGKIL BAKAT KEPIMPINAN PELAJAR

unikl-msi

MENGAMBIL inisiatif bagi memantapkan kemahiran insaniah ke arah melahirkan graduan berkualiti, Universiti Kuala Lumpur Malaysian Spanish Institute (UniKL MSI) telah menganjurkan siri Kem Kepimpinan Intelektual (iLEAD) kali ke-19 di Straits Quay, Pulau Pinang baru-baru ini.

Merupakan platform terbaik dalam usaha melahirkan generasi pelapis kepimpinan negara, peserta iLEAD terdiri dalam kalangan pelajar sekolah menengah dan penuntut institusi pengajian tinggi di negara ini.

Kem kepimpinan yang diperkenalkan pada Januari 2014 itu dilaksanakan mengikut kesesuaian modul yang merangkumi pelbagai aktiviti seperti latihan dalam kumpulan (LDK), eksplorasi fizikal dan renungan kerohanian.

Modul asas

Koordinator program, Mohd. Suyerdi Omar berkata, penganjuran kem selama sehari itu bertujuan melahirkan lebih ramai pelapis muda menjadi pemimpin pada masa hadapan sekali gus membentuk sahsiah lebih tinggi dalam kalangan peserta.

“Fokus kita masih kekal dalam memastikan para peserta berjaya menguasai keempat-empat modul asas kepimpinan yang diterapkan dalam iLEAD.

“Modul yang bakal menguji kebolehan setiap peserta itu juga merangkumi aspek kerjasama berkumpulan, bekerja di bawah tekanan, corak pemikiran kritikal dan kaedah membahagikan tugas ketika aktiviti tersebut dijalankan,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di Pulau Pinang baru-baru ini.

Menurut Mohd. Suyerdi yang juga Pensyarah Kejuruteraan Mekanikal di UniKL Kampus Kulim, Kedah, pelaksanaan kem itu telah mendapat permintaan membanggakan daripada institusi pendidikan tempatan pada tahun ini.

Beliau memberitahu, urusan pemilihan pelajar yang mengikuti program tersebut pula diselia oleh pihak sekolah terlibat.

Jelasnya lagi, pihaknya menerima lebih 1,500 penyertaan terdiri dalam kalangan pelajar sekolah menengah dan penuntut kolej sejak program tahunan itu memulakan jelajahnya pertengahan Julai lalu.

Antara sekolah yang menjayakan kem tersebut ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mat Lagam, SMK Banggol di Terengganu serta Kolej Matrikulasi Gambang di Pahang dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau, Pulau Pinang.

Pengalaman

Sementara itu, seorang lagi fasilitator, Hafiz Salihin Ishak, 24, turut berkongsi pengalamannya menjayakan kem kepimpinan tersebut.

“Dalam program ini, kami berdepan cabaran untuk mendidik dan meningkatkan keyakinan para peserta.

“Pada awalnya, tugas itu agak sukar berikutan kami perlu mengubah persepsi negatif sesetengah pelajar. Ini kerana, ada dalam kalangan mereka memandang remeh mengenai kemahiran insaniah,” jelasnya.

Seorang lagi fasilitator, Mohammad Khairil Ikhwan Anuar, 21, berkata, sebahagian daripada peserta terbabit pada mulanya beranggapan yang gelaran sebagai pemimpin tidak memerlukan pengalaman dan pengetahuan luas.

“Namun, setelah mengikuti program dan didedahkan dalam beberapa slot permainan seperti Terikat Denganmu, UniKL Airline, Tikar Terbang, Oh Negaraku, Jom Viral, Dream Tower dan Tiga Suku Kata, barulah minda mereka terbuka terhadap tanggungjawab dan cabaran sebagai ketua,” katanya.

Pelatih akan naik ke loji latihan untuk menjalankan tugas yang diberikan sepanjang tempoh pengajian sebagai rutin harian.

Penganjuran TMFW 2016 merupakan yang pertama di Jepun dan mendapat liputan menggalakkan daripada media antarabangsa.

SEBAHAGIAN peserta yang merupakan pelajar Kolej Matrikulasi Gambang, Pahang mempersembahkan lukisan kumpulan masing-masing ketika slot permainan Dream Tower.

Sumber : http://wp.news365.my/?p=2083457

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.