Cipta kerusi guna tong drum

 Shamsul Azhar (duduk) dan Mohd Sharif bangga menunjukkan produk yang dihasilkan oleh mereka.


Shamsul Azhar (duduk) dan Mohd Sharif bangga menunjukkan produk yang dihasilkan oleh mereka.

PADANG LUAS – Kreatif! itulah perkataan bagi menggambarkan hasil kerja berkumpulan daripada peserta GIATMARA Hulu Selangor, yang berjaya menghasilkan sebuah kerusi rehat pelbagai fungsi yang diubahsuai dari tong drum.

Rekaan secara inovasi ini mendapat perhatian Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada Karnival BeSkills.

Bermodalkan RM400, produk rekaan kumpulan tersebut bukan sahaja dijadikan contoh kepada para peserta supaya terus berdaya saing, malah semua agensi di bawah kementerian itu disarankan membeli produk berkenaan bagi membantu meningkatkan pendapatan peciptanya.

Shamsul Azhar Toyeban, 36, berkata, idea rekaan tersebut lahir apabila beberapa kawasan umum di negara ini kekurangan kerusi untuk berehat, sedangkan ia merupakan satu keperluan lebih-lebih lagi di kawasan beristirahat.

“Kami reka kerusi rehat ini dengan berbagai-bagai fungsi, antaranya soket untuk memudahkan pengguna mengcaj telefon masing-masing, tempat menyimpan barang, meja sisi termasuk kerusi boleh laras untuk berbaring.

“Apabila kerusi dibalut sarung kusyen, ia lebih selesa kepada pengguna. Malah, kosnya juga murah kerana kami boleh mendapatkannya daripada pelatih dari GIATMARA yang sama,” katanya sambil memberitahu, walaupun sekadar menduduki tempat ketiga dalam pertandingan kategori Creative Product (Drum Barrel), mereka tetap berbangga apabila produk yang direka disebut-sebut antara produk berkualiti.

Sementara itu, Mohd Sharif Ahmad Nizam, 18, memberitahu, menamakan produk itu sebagai D Liner Bhisek yang bermaksud berehat seketika, bersesuaian dengan konsep produk yang memberi keselesaan kepada pengguna.

Menurutnya, dengan fungsi kerusi yang boleh laras membolehkan pengguna merehatkan tubuh badan sebelum memulakan aktiviti.

“Kami mengambil masa beberapa bulan untuk menyiapkan produk ini kerana ia perlu dilakukan dengan betul selain perlu kreatif lebih-lebih lagi penyertaan ini melibatkan semua GIATMARA di seluruh negara.

“Produk ini akan dipamerkan di sudut pameran di GIATMARA Hulu Selangor. Kepada mereka yang berminat untuk mendapatkannya, boleh membuat tempahan termasuk tempahan dalam skala besar,” katanya.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/pahang/cipta-kerusi-guna-tong-drum-1.594734

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.