UniKL MIMET Julang Nama Negara

image-6

 

KIMPALAN atau lebih dikenali sebagai welding bukanlah suatu perkara yang asing dan baharu dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Kimpalan secara amnya merupakan satu proses cantuman bagi bahan berasaskan logam dan kini digunakan secara menyeluruh dalam bidang pembinaan, perkapalan dan pembuatan di seluruh dunia.

Kimpalan moden pada hari ini adalah hasil usaha dan penyelidikan berterusan dari zaman ke zaman. Sejak hampir 2,000 tahun yang lalu di era zaman besi lagi, manusia telah memikirkan kaedah untuk mencantumkan logam.

Dua proses utama yang diguna kan dalam kimpalan pada hari ini adalah kimpalan arka-elektrik dan kimpalan gas oxy-acetylene dan telah dibangunkan sejak akhir kurun ke 19.

Dua saintis Eropah, Nikolas DeBernardos dan Stanislav Olszewski telah menjalankan eksperimen menggunakan elektrod karbon dan telah dianugerahkan Paten Kimpalan Elektrik yang pertama pada 1885.

Kimpalan geseran kacau (friction stir welding) pula diperke­nalkan oleh Wayne Tho­mas daripada The Welding Institute (TWI) pada 1991.

Negara juga tidak ketinggalan dalam meneroka dan menghasilkan inovasi terkini dalam teknik kimpalan moden. Malaysia kini mempunyai tenaga kreatif yang berdaya saing sama ada di peringkat industri mahupun universiti dalam bidang berkenaan.

Tidak dinafikan, bakat dimiliki anak-anak muda yang berkecim­pung dalam bidang berkaitan cu­kup mengagumkan dan boleh diketengahkan di arus perdana.

Ini terbukti menerusi pencapaian sekumpulan penyelidik daripada Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Marine Engineering Techonolgy (UniKL MIMET) di Lumut, Perak.

Mereka bukan sahaja mampu membangunkan teknik kimpalan geseran kacau terkini dengan kos rendah malah projek protaip yang dihasilkan itu mampu beroperasi di dalam air, yang pertama seumpamanya di negara ini.

Jadi tidak hairanlah, usaha gigih kumpulan ini memba­ngunkan teknik kimpalan moden berkenaan sejak empat tahun lalu mendapat perhatian dan pengiktirafan bukan sahaja di negara ini malah di peringkat antarabangsa.

Tahun ini sahaja, tiga anugerah emas diterima mereka iaitu dalam International Invention & Innovatitive Competition di Port Dickson, Negeri Sembilan pada 5 November; International Invention Innovation Competition di Kanada pada 27 Ogos dan di International Invention, Innovation & Techno­logy Exhibition (ITEX 2016) di Kuala Lumpur dari 12 hingga 14 Mei lalu.

Kumpulan ini juga berjaya mempatenkan satu reka bentuk industri serta menerbitkan 20 teknikal jurnal.

Pensyarah Kanan UniKL MIMET, Azman Ismail berkata, projek tersebut telah dimulakannya pada 2012 bersama 19 pelajar tahun akhir yang mengikuti kursus Ijazah Teknologi Kejuruteraan Arkitek dan Pembinaan Kapal laut di universiti itu.

Menurut Azman, 12 daripada pelajar tersebut telah selesai pe­ngajian manakala tujuh yang lain masih lagi menjalankan kajian bagi menambahbaik teknik ber­kenaan.

Tambah beliau, teknik kimpalan ciptaan mereka ini menggunakan mesin yang sedia ada di pasaran, namun ditambah baik dari segi fungsi peralatan melalui sedikit pengubahsuaian selain menggunakan perkakas berbeza.

“Bukan mahu mendabik dada, namun kami berjaya mewujudkan sebuah fasaliti menggunakan teknik terkini dan moden de­ngan kos hanya RM5,500 di UniKL MIMET.

“Inovasi ini mempunyai kualiti penyambungan yang amat baik, hasil cantuman yang dibuat lebih kemas, tiada pertambahan berat kepada struktur yang disambung serta berupaya menyambung bahan ber­lainan.

“Penambahbaikan yang dilakukan ini secara tidak langsung mengurangkan kos pengeluaran kerana tiada pembelian bahan mentah, tiada logam pengisi, tiada gas pelindung, tiada pembelian topi pelindung arka selain selamat kepada operator dan persekitaran kerana tiada arka, tiada asap, tiada gas nadir dan aktif serta tiada ke­­perluan logam pengisi,” katanya.

Menurut Azman, inovasi teknik kimpalan tersebut juga amat menjimatkan masa kerana tidak memerlukan operator berkemahiran tinggi, tiada kecacatan kimpalan serta dilakukan secara serentak.

Tambah beliau, selain penyam­bungan biasa, inovasi tersebut juga mampu menyambungkan kimpalan sambungan T (tee joint) dan sambungan tindih (lap joint) serta yang terbaharu, sambungan pepenjuru terbuka (conner joint).

“Hasil ujikaji kesan regangan yang kita lakukan menunjukakn besi tersebut putus di bahagian bahan asal dan bukannya di tempat yang kita sambung. Ini me­nunjukkan sambungan yang dibuat amat kukuh,” katanya.

Tambah beliau, sehingga kini fasaliti kimpalan geseran kacau moden ini terdapat di beberapa negara berharga puluhan jutaan ringgit yang digunakan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) di Amerika Syarikat dan TWI, United Kingdom.

“Malah, di Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Seri Iskandar, Perak, fasaliti mereka berharga melebihi sejuta ringgit sedangkan semua fasaliti di UniKL MIMET hanya bernilai RM250,000 dengan prototaip kami pula dihasilkan dengan kos RM5,500 sahaja,” katanya.

Azman berkata, ketika ini pihaknya juga dalam proses perbincangan dengan sebuah syarikat Industri di Kuala Lumpur dalam menghasilkan sebuah mesin komersil yang bukan sahaja boleh berfungsi di darat malah di dalam air.

“Pada masa sama, kami masih menjalankan kajian dan membawa produk ini ke luar melalui penyertaan dalam pelbagai acara dan pertandingan yang diadakan di luar negara bagi mendapatkan maklum balas serta pandangan supaya penambahbaikan boleh dilakukan secara berterusan.

“Sebenarnya hasrat kami menghasilkan inovasi ini adalah bagi membolehkan teknologi baharu dibangunkan di negara ini dengan kos yang lebih murah terutama dalam situasi ekonomi ketika ini yang memerlukan langkah penjimatan.

“Diharapkan ia mampu membawa manfaat buat industri perkapalan serta industri gas dan minyak di negara ini,” katanya.

Advertisements
This entry was posted in Berita Kejayaan, Pendidikan. Bookmark the permalink.