MARA Teliti Cadangan Penubuhan MRSM Berbayar

mrsm-logo

 

KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) menerima baik cadangan penubuhan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) berbayar, untuk golongan berkemampuan dan telah mula membuat penelitian berhubung perkara itu.

Ketua Pengarahnya Datuk Ibrahim Ahmad berkata pihaknya perlu meneliti cadangan itu dari pelbagai sudut, termasuk dari segi urusan perbelanjaan.

“Kita juga tidak mahu dilihat terlalu pentingkan keuntungan, dasar kita adalah membantu memberi peluang pendidikan kepada mereka yang layak, kita sedang membuat penelitian sepatutnya,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Perpustakaan Negara Malaysia dan MARA di sini, hari ini.

Ibrahim berkata permohonan kemasukan ke MRSM kini memberi keutamaan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, terutama dari luar bandar.

Isnin lalu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau telah memberi cadangan kepada MARA agar menubuhkan MRSM berbayar.

Ini berikutan beliau menerima banyak permintaan daripada ibu bapa berpendapatan tinggi yang mempunyai anak-anak cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan berhasrat menghantar mereka melanjutkan pelajaran di MRSM. – Bernama

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.