Gedung Ilmu Sistematik Untuk Melahirkan Modal Insan Kompeten Negara

Dari kiri YBhg. Puan Nafisah Binti Ahmad, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara dan YBhg. datuk Ibrahim Bin Ahmad, Ketua Pengarah MARA menandatangani plak perasmian MoU antara Perpustakaan Negara dan MARA.

YBhg. Puan Hajjah Nafisah binti Ahmad, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara  Malaysia dan YBhg. Datuk Ibrahim bin Ahmad, Ketua Pengarah MARA menandatangani simbolik MoU antara Perpustakaan Negara Malaysia dan MARA.

oleh Zuraini Sainal
media@mara.gov.my
KUALA LUMPUR, 1 Disember – Komuniti MARA yang terdiri di kalangan warga kerjanya, para pelajar serta usahawan digesa untuk menyuburkan budaya amalan membaca dalam meningkatkan ilmu pengetahuan serta sebagai usaha berterusan ke arah pembentukan warganegara dengan minda kelas pertama. 

 
Menurut Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad menyedari hakikat perpustakaan merupakan punca ilmu dan amal dari sudut pembentukan sahsiah bangsa, MARA telah membuat pengubahsuaian falsafah pendidikan yang bukan sahaja menumpu kepada kepada perpustakaan yang bersifat knowledge centre tetapi sebaliknya mementingkan kepada value centre dengan memfokuskan kepada knowledge, technology dan entrepreneur values.
 
Beliau berkata demikian semasa hadir menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MARA dengan Perpustakaan Negara Malaysia di sini hari ini. Perpustakaan Negara Malaysia diwakili Ketua Pengarahnya, Hajah Nafisah Ahmad.
 
Mengulas lanjut berkenaan MoU, Ibrahim berkata, melalui persefahaman ini, MARA dan Perputakaan Negara akan bekerjasama dari sudut bantuan pembangunan perkhidmatan perpustakaan dan penyampaian maklumat; pengurusan kemudahan Akses Sumber Maklumat secara fizikal dan elektronik yang lebih sistematik serta kolaborasi dalam perkhidmatan rujukan serta mewujudkan Sistem Pembekalan Penerbitan (SPP) di Malaysia.
 
“Kerjasama juga akan fokus kepada penyediaan bahan rujukan terbitan dalam dan luar negara berkaitan pendidikan, keusahawanan, dan pelaburan serta pelaksanaan program pembangunan modal insan dalam bidang perpustakaan yang kompeten dan lebih berdaya saing,” katanya.
 
Ujarnya lagi, MoU ini merupakan usaha bagi memastikan kita menjadi bangsa berjaya di dunia dan akhirat yang menjadi perjuangan menjunjung amanah rakyat sejak dari RIDA ditubuhkan sehingga ditransformasikan menjadi MARA pada hari ini.
 
“Inisiatif ini sekali gus mewujudkan penyampaian sumber maklumat yang berkualiti bagi manfaat pemerkasaan sektor Pendidikan, Keusahawanan, Khidmat Pengurusan dan Pelaburan MARA ke arah melahirkan tenaga mahir yang kompeten dan berdaya saing di peringkat nasional dan global” katanya lagi.
 
MARA mempunyai lebih dari 80 buah perpustakaan seluruh pusat pentadbirannya dan diharapkan kerjasama ini akan membolehkan penyaluran maklumat dalam pelbagai lapangan ilmu antara kedua pihak dapat dimaksimumkan.
Advertisements
This entry was posted in Pendidikan and tagged , , . Bookmark the permalink.