Platform Lahir Usahawan Berjaya

Sebahagian penerima anugerah bergambar bersama Ahli Majlis Mara, Nazir Hussin Akhtar Hussin (tujuh dari kiri), Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Norhayati Omar (enam dari kiri) dan Mumfahir Suparja (tengah) dalam majlis Anugerah Usahawan Mara, baru-baru ini.

Sebahagian penerima anugerah bergambar bersama Ahli Majlis MARA, Nazir Hussin Akhtar Hussin (tujuh dari kiri), Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Norhayati Omar (enam dari kiri) dan Mumfahir Suparja (tengah) dalam majlis Anugerah Usahawan Mara, baru-baru ini.

BUAT julung kalinya, Majlis Amanah Rakyat (MARA) Negeri Sembilan telah menganjurkan majlis Gemilang Usahawan 2016 di sebuah hotel di Seremban pada Khamis lalu.

Lebih 400 usahawan yang dibimbing oleh agensi itu di negeri ini menghadiri program tersebut yang padat dengan program sejak pagi hingga lewat petang. Ahli Majlis MARA, Nazir Hussin Akhtar Hussin telah merasmikan program itu dan menyampaikan anugerah kepada para usahawan yang berjaya.

Wartawan Utusan Malaysia, NAZARUDIN SHAHARI bersama jurugambar, MOHD. IZZUL FARHAN AHMAD SURIANSHAH menemu bual Pengarah Mara Negeri Sembilan, MUMFAHIR SUPARJA bagi berkongsi mengenai program tersebut secara terperinci.

UTUSAN: Boleh terangkan objektif Gemilang Usahawan 2016 diadakan?
MUMFAHIR: Program ini bertujuan menghargai para usahawan MARA di Negeri Sembilan dengan memberikan anugerah kepada mereka yang cemerlang. Anugerah diberi kepada usahawan yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat global. Walaupun produk mereka mungkin lebih kecil daripada IKS (industri kecil dan sederhana), kita ambil dari awal dan bangunkan melalui teknik keusahawanan MARA.

Program ini juga akan menjadi platform kepada MARA untuk melahirkan usahawan berimpak tinggi yang mampu menyumbang kepada pening­katan pendapatan negara. Semua peringkat usahawan sama ada baharu bermula atau mereka yang telah lama mempunyai peluang ma­sing-masing dalam program pemba­ngunan keusahawanan MARA.

Apakah anugerah yang diberi dalam program itu?
Sebanyak empat anugerah telah ditawarkan dalam program ini iaitu Anugerah Usahawan Cemerlang MARA, Anugerah Khas MARA, Anugerah Usahawan Agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Anugerah Penyewa Terbaik.
Anugerah usahawan cemerlang dan anugerah khas mempunyai enam kategori. Para pemenang diberi hadiah berupa geran perniagaan yang diharap dapat membantu mereka mengembangkan perniagaan masing-masing.

Berapakah jumlah usahawan MARA di Negeri Sembilan?
Jumlah usahawan mengikut kategori kluster MARA ialah 450 orang untuk gaya hidup, pembinaan (517), teknologi maju (7), automotif (141), makanan dan minuman (F&B) (500), kesihatan (103) dan ICT (103). Ia tidak termasuk seramai 282 usahawan yang menerima kemudahan pembiayaan.

Jumlah yang dibelanjakan oleh Mara dalam program ini.
Tahun ini, MARA Negeri Sembilan telah membelanjakan sejumlah RM2.24 juta untuk menganjurkan 79 kursus keusahawanan yang telah memanfaatkan seramai 2,608 usahawan.

Di samping itu, kita telah mengeluarkan pembiayaan perniagaan bernilai RM28 juta kepada 282 usahawan negeri ini. Kita turut menawarkan lot perniagaan untuk disewa oleh usahawan di tujuh daerah di nege­ri ini yang jumlahnya melebihi 400 lot ruang niaga di 39 buah premis perniagaan.

Apakah bentuk bimbingan yang diberikan MARA setakat ini kepada usahawannya?
MARA telah merangka bentuk bimbingan yang komprehenstif sama ada latihan, kursus, khidmat nasihat dan perundingan. Tumpuannya adalah bagi menyemarakkan bidang keusahawanan dalam bentuk pembangunan perniagaan, pembiayaan dan infrastruktur komersial.

Bolehkah usahawan bermula daripada kosong atau tiada asas perniagaan?
Terdapat peluang di MARA bagi mereka yang tidak mempunyai asas dalam dunia perniagaan untuk mencapai cita-cita menjadi usahawan. MARA mempunyai prog­ram Latihan Pembangunan Usahawan (LPU) yang mempunyai tiga modul latihan keusahawanan iaitu Latihan Motivasi Pencapai­an (AMT), Latihan Pengurusan Perniagaan (BMT) dan Rancangan Perniagaan (RP).

LPU adalah khusus bagi mereka yang berminat menjadi usahawan tetapi tidak mempunyai ilmu mencukupi dalam bidang itu. Setiap tahun, MARA negeri ini membimbing 30 bakal usahawan melalui LPU bermula dari kosong hingga boleh menjadi usahawan. Antara faedah yang diperolehi ialah pengecualian cagaran atau penjamin bagi pembiayaan kurang daripada RM50,000.

Harapan pihak MARA untuk program Gemilang Usahawan?
Tahun depan, MARA Negeri Sembilan akan memberi tuan-puan kepada tujuh kluster yang telah ditetapkan bagi memacu ­usahawan berdaya saing di pasaran global.
Tumpuan khusus adalah kluster gaya hidup iaitu bidang rekaan fesyen.
Matlamat pemasaran hingga ke peringkat global dengan negara-negara Asean menjadi sasaran. Kita mahu usahawan berkualiti mampu mencapai impak pendapatan tinggi dan saya yakin ia dapat direalisasikan melalui budaya kreatif dan inovatif yang ditekankan selama ini.

Sumber Utusan Malaysia : http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/platform-lahir-usahawan-berjaya-1.413513#sthash.KrGHbXyd.dpuf

Advertisements
This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.