Pembinaan MRSM Berbayar Diperinci

Ismail Sabri Yaakob bersama kakitangan kementeriannya memotong kek ulang tahun kelahiran beliau di majlis perhimpunan bulanan di Putrajaya, semalam. UTUSAN/RASHID MAHFOF

Ismail Sabri Yaakob bersama kakitangan kementeriannya memotong kek ulang tahun kelahiran beliau di majlis perhimpunan bulanan di Putrajaya, semalam. UTUSAN/RASHID MAHFOF

PUTRAJAYA 28 Nov. – Majlis Amanah Rakyat (MARA) sedang menjalankan kajian terperinci dan perbincangan untuk menubuhkan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) berbayar di kawasan-kawasan yang bakal dikenal pasti tidak lama lagi.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, cadangan tersebut bertujuan memberi peluang khususnya kepada pelajar-pelajar daripada keluarga berkemampuan yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang.

Beliau berkata, melalui langkah itu, MARA dapat menumpukan pengambilan pelajar cemerlang yang terdiri daripada pelajar miskin, kurang berkemampuan dari luar bandar untuk memasuki MRSM sedia ada, selaras matlamat asal penubuhannya.

“Kita mahu memberi keadilan kepada para pelajar terutama yang berkemampuan agar dapat mengikuti sistem pendidikan MRSM. Ini kerana keutamaan MRSM pada masa ini adalah untuk golongan kurang berkemampuan, sederhana dan luar bandar.

“Ia masih di peringkat awal kajian, terlalu banyak aspek yang perlu dilihat termasuk kadar bayaran, pembinaan dan pengurusan. Mungkin kita boleh bekerjasama dengan syarikat-syarikat swasta yang sudah biasa membina sekolah-sekolah swasta,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis Perhimpunan Bulanan kementeriannya di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, mengikut kajian awal, kadar yuran untuk seorang pelajar di MRSM berbayar kira-kira RM1,000 sebulan dan RM13,000 setahun.
Pengiraan kadar tersebut katanya, berdasarkan jumlah bayaran yang ditanggung oleh MRSM sedia ada iaitu RM500 juta setahun untuk seramai 39,000 pelajar termasuk hal ehwal pe­ngurusan.

“Walau bagaimanapun, kita menjangkakan kadar yurannya tidak terlalu tinggi, malah mungkin lebih murah daripada kadar yuran di sekolah-sekolah swasta yang ada,” katanya.
Pada 2014, MARA telah mendapat pelbagai reaksi daripada banyak pihak terhadap cadangan penubuhan MRSM berbayar dan ada yang menyifatkan idea tersebut sedikit tersasar daripada objektif sebenar penubuhan.

Matlamat utama penubuhan MRSM sejak lebih empat dekad yang lalu adalah untuk memberi pendidikan menengah berteraskan sains dan matematik dan kumpulan sasar adalah anak-anak miskin luar bandar serta miskin bandar atau kelompok berpendapatan rendah.

Terdahulu, Ismail Sabri turut menyampaikan beberapa anugerah kecemerlangan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa kepada para pemenang yang terdiri daripada agensi dan jabatan di bawah kementerian tersebut.

– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/pembinaan-mrsm-berbayar-diperinci-1.413659#sthash.FgoECcpc.dpuf

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.