Hargai Usaha MARA Bangunkan Usahawan Tempatan

YB Haji Nawi Mohamad (depan) merasmikan Karnival Terengganu 2016

 Haji Nawi Mohamad (depan) merasmikan Karnival Terengganu 2016

oleh Lina Mastura Jasmawi
media@mara.gov.my

KUALA LUMPUR, 29 November – Kerajaan Terengganu menghargai usaha MARA dalam mempertingkatkan kebolehan usahawan tempatan untuk melonjakkan hasil jualan ke pasaran baru di luar negeri Terengganu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Terengganu, Haji Nawi Mohamad, MARA telah banyak membantu usahawan Bumiputera dari Negeri Terengganu dengan merangka pelbagai program khas untuk membawa produk tempatan negeri tersebut ke negeri-negeri lain.

“Antaranya, melalui kemudahan khidmat nasihat, penjenamaan dan pemasaran bantuan kewangan serta ruang perniagaan yang disediakan oleh MARA telah membolehkan banyak produk keluaran negeri ini dapat diketengahkan”, katanya

Menurut Nawi, beliau turut mengagumi usaha berterusan MARA dalam melonjakkan pasaran produk usahawan Terengganu seperti penganjuran Fiesta Pantai Timur yang mana selama lima tahun dianjurkan secara konsisten di Johor Bahru.

“Kejayan penganjuran hari ini memperlihatkan satu bentuk kerjasama yang amat baik antara MARA dan kerajaan Negeri Terengganu dalam konteks pembangunan usahawan IKS untuk meneroka pasaran tempatan malah menjangkaui pasaran luar”, tambahnya lagi.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Karnival Terengganu 2016 di sini hari ini yang bertujuan untuk mempromosikan produk usahawan MARA dan usahawan-usahawan dari Negeri Terengganu Darul Iman.

Mengulas lanjut berkenaan Karnival Terengganu, Nawi berkata Negeri Terengganu merupakan sebuah negeri yang mempunyai banyak potensi untuk dimajukan khususnya dalam industri pelancongan dan penghasilan industri tradisional yang boleh dikomersilkan.

“Terengganu mempunyai potensi besar untuk dimajukan, di mana terdapat pusat-pusat peranginan yang diusahakan oleh golongan Bumiputera seperti di Pulau Perhentian yang boleh dipopularkan lagi hingga ke seluruh dunia,” tambah beliau.

Jelasnya lagi, industri seperti penghasilan madu kelulut yang sedang mendapat permintaan yang tinggi boleh dipertingkatkan lagi kerana terdapat ramai pengusaha madu tersebut di Negeri Terengganu.

“Saya mewakili kerajaan Negeri Terengganu ingin berterima kasih kepada MARA kerana terus memperjuangkan nasib usahawan Bumiputera di Negeri Terengganu dan diharap usahasama seperti ini dapat diteruskan sehingga dapat membawa perusahaan negeri Terengganu ke pasaran global,” jelas beliau.

Advertisements
This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.