Unit khas komersial produk GIATMARA

giatmara-bera1

BERA 26 Nov. – GIATMARA disaran mewujudkan unit khas untuk mengkaji dan mengumpul produk ciptaan penuntutnya agar dapat dikomersialkan bagi manfaat masyarakat.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau tidak mahu produk ciptaan tersebut sekadar berjaya memenangi anugerah dan hanya dipamerkan di GIATMARA tanpa diketengahkan.

“Produk terbaharu hasil gabu­ngan kreativiti dan inovasi pe­ngajar serta pelatih itu seharus­nya dikumpul oleh satu unit khas yang berperanan bukan sahaja mengkomersialkan tetapi turut memasarkannya.

“Dalam masa sama, saya arahkan kementerian ini dan agensi dibawahnya untuk membeli produk-produk hasil ciptaan pelatih GIATMARA jika bersesuaian,” katanya kepada pemberita selepas merasmi dan menyampaikan hadiah sempena Karnival BeSkills GIATMARA 2016 di sini hari ini. Yang turut hadir ialah Pengerusi GiatMara, Datuk Azian Osman.

Lebih 400 penyertaan diterima pada karnival kali ini yang membabitkan penglibatan pengajar dan pelatih GIATMARA dari seluruh negara dalam pelbagai kategori.

Menurut Ismail Sabri, unit khas tersebut juga bakal memainkan peranan menjual dan memasarkan produk-produk inovasi GIATMARA. “Saya mencadangkan setiap premis perniagaan yang diba­ngunkan Majlis Amanah Rakyat (MARA) perlu mewujudkan satu ruang untuk unit khas ini.
“Secara tidak langsung usaha ini akan membantu lepasan GIATMARA menceburi bidang keusahawanan dengan produk ciptaan mereka sendiri,” jelasnya.
Tambahnya, kerajaan turut menyediakan dana khas bagi lepasan GIATMARA yang mahu menceburi bidang keusahawanan berjumlah RM10 juta dengan maksimum pinjaman sebanyak RM1 juta tanpa dikenakan faedah.

“Saya harap mereka (lepasan GIATMARA) akan sentiasa merebut ruang dan peluang yang disediakan ini dalam usaha melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir,” ujarnya.

Sumber : http://m.utusan.com.my/berita/nasional/unit-khas-komersial-produk-giatmara-1.412769#sthash.xFHU8QlP.dpuf

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan and tagged . Bookmark the permalink.