Karnival BeSkills GIATMARA 2016 meriah

gg

BERA 26 Nov. – Lebih 400 pe­nyertaan diterima daripada GIATMARA dari seluruh negara dalam pelbagai kategori sempena Karnival BeSkills GIATMARA 2016 yang berlangsung selama empat hari bermula Selasa lalu di Majlis Daerah Bera di sini.

Pengerusi GIATMARA, Datuk Azian Osman berkata, penyertaan tersebut memberi gambaran yang baik terhadap usaha GIATMARA untuk membudayakan penyelidikan dan inovasi dalam kalangan tenaga pengajar dan pelatih sejajar memperkasakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
“Antara aktiviti yang dijalankan di karnival dwi tahunan ini adalah pertandingan inovasi, motosikal custom, pertandingan sulaman serta peluang perniagaan kepada usahawan-usahawan GiatMara untuk berniaga.

“Karnival ini juga menjadi platform untuk mengenal pasti projek-projek inovasi yang berpotensi, bernilai komersial dan seterusnya diketengahkan ke pertandingan sama ada peringkat kebangsaan mahu pun antarabangsa,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian karnival berkenaan di sini hari ini oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Azian, apa yang membanggakan ialah beberapa projek hasil cetusan idea pengajar dan pelatih GIATMARA mencatat kejayaan sehingga mendapat pengiktirafan dan pingat.

“Antara kejayaan yang dicapai ialah mendapat pengiktirafan dan pingat di Invention & Innovations Award (MTE), Invention & Design Competition (ITEX), Pertandingan Reka Cipta dan Inovasi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Anugerah Inovasi Negara, Malaysia Design Competition dan Inventions Geneva,” jelasnya.

Dalam pada itu, katanya, inovasi dalam usaha memperkasakan TVET terutamanya dalam konteks Internet of Things (IoT) merupakan satu fenomena besar yang mampu memacu gelombang transformasi dunia sedia ada ke dunia digital.

“Seterusnya muncul sebagai satu sumber baharu dalam pertumbuhan ekonomi negara.
“Saya berharap kategori-ka­tegori baharu dalam bentuk IoT diketengahkan pada pertandi­ngan BeSkills akan datang. Dunia kini sedia maklum bahawa transaksi di hujung jari,” ujarnya

Sumber : http://m.utusan.com.my/berita/nasional/karnival-beskills-giatmara-2016-meriah-1.412754#sthash.dHyauSNf.dpuf

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan and tagged , . Bookmark the permalink.