Biasiswa: Pelbagai Kriteria Diambil Kira

Abdul Aziz Hassan

Abdul Aziz Hassan

PENDIDIKAN adalah perkara teras dalam pembangunan sesebuah negara kerana melalui pendidikan, pelapis kepada pemimpin masa depan dapat dibentuk.

Sehubungan itu, selain membangunkan infrastruktur pendidikan terbaik, penajaan kepada pelajar termasuk untuk melanjutkan pengajian di universiti luar negara sentiasa menjadi keuta­maan.

Antara agensi kerajaan yang mengendalikan pembiayaan ini ialah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan RM4.3 bilion disediakan dalam Bajet 2017 untuk biasiswa termasuk RM1.6 bilion menerusi JPA dan RM2 bilion kepada MARA.
Namun pada masa ini, kos me­lanjutkan pelajaran di luar negara bukan murah dan sebagai contoh, kos seorang pelajar jurusan perubatan di Ireland mencecah RM1.5 juta.

Sedangkan, jumlah pelajar cemerlang semakin meningkat sekali gus menyaksikan persaing­an untuk mendapat biasiswa cu­kup sengit. Maka perbincangan berkenaan kelayakan sentiasa berlaku termasuk idea berkenaan merit sebagai kriteria tunggal.

Sebagai contoh baru-baru ini dalam persidangan agung tahunan sebuah parti telah berbangkit cadangan supaya kerajaan mewujudkan Biasiswa Nasional dalam Bajet 2017 yang dianugerahkan berdasarkan merit semata-mata.

Namun mengambil kira latar belakang Malaysia selain hakikat betapa jurang pencapaian antara pelajar luar bandar dan bandar masih wujud, maka adilkah peng­anugerahan biasiswa dinilai berdasarkan kecemerlangan akademik semata-mata?

Pengarah Bahagian Penajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA), Abdul Aziz Hassan yang berkongsi pandangannya berkata, sebarang dana baharu untuk pembiaya­an pendidikan sama ada yang disediakan kerajaan atau pihak lain sememangnya dialu-alukan.

“Penubuhan dana-dana baru wajar kerana pada masa ini kebanyakan badan penaja termasuk MARA menyediakan bantuan pendidikan dalam bentuk pinjaman pelajaran boleh ubah.

“Namun pertimbangan pemberian biasiswa pada saya tetap tidak boleh hanya berasaskan merit,” ujarnya.

Kata Abdul Aziz, di samping kecemerlangan akademik, pertimbangan latar belakang pelajar seperti dari luar bandar dan ber­asal daripada keluarga berpendapatan rendah serta sederhana juga harus diambil kira.

Sehingga kini, beliau memberi­tahu, walaupun negara berdepan cabaran ekonomi global, 10,000 pelajar sedang melanjutkan pelajaran di luar negara manakala 70,000 pelajar pula di dalam negara menggunakan kemudahan pinjaman pelajaran MARA.

Malah jelasnya, MARA sendiri mempunyai sistem khas yang mengutamakan kualiti berban­ding kuantiti pelajar. Abdul Aziz berkata, MARA telah meng­aplikasikan sistem merit dalam urusan pertimbangan kelulusan pinjaman pelajaran MARA sejak dahulu.

Bagaimanapun katanya, selain melihat kepada pencapaian akademik, MARA turut mengambil kira aspek sosioekonomi pelajar dan penglibatan aktif mereka dalam aktiviti kokurikulum.

“MARA sejak dahulu memang memberi tumpuan kepada pelajar bumiputera cemerlang yang keluarganya berada dalam kate­gori berpendapatan 40 peratus terendah (B40) kerana objektif penubuhan MARA ialah untuk membantu mereka.

“Memang ada isu susah nak dapatkan pinjaman MARA kerana kita memilih mereka yang benar-benar layak dari segi akademik dan faktor-faktor lain,” ujarnya.

Tambah beliau, peluang kepada bumiputera untuk melanjutkan pelajaran juga terbuka untuk yang mencatat keputusan sederhana kerana pihaknya mempunyai Institusi Pendidikan MARA (Ipma) seperti Giat MARA dan Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) untuk program diploma.

“Menerusi Ipma, mereka boleh mendapatkan pendidikan secara percuma. Jelas, kerajaan melalui MARA sentiasa menyediakan pe­luang untuk bumiputera memajukan diri,” ujarnya.

Sememangnya sebagai sebuah negara yang mempunyai latar belakang rakyat yang kompleks, pastinya keputusan akademik bukanlah perkiraan tunggal dalam pemberian biasiswa oleh kebanyakan agensi terlibat.

Sebagai contoh, model baharu penajaan JPA yang diumumkan April lalu dirangka berdasarkan empat teras utama iaitu merit dan inklusiviti; fokus kepada B40, M40 dan TVET; pembangunan Malaysia sebagai hab pendidikan dan pulangan pelaburan.

Model baharu tersebut dirangka bagi mencapai objektif pembangunan modal insan negara untuk memberi peluang kepada lebih ramai pelajar melanjutkan pengajian di IPT tempatan serta memfokuskan kepada pelajar daripada golongan berpendapatan rendah.

Pada tahun ini, JPA menanggung pembiayaan seramai 49,060 pelajar sedia ada iaitu penajaan 41,324 pelajar dalam negara dan 7,736 pelajar di luar negara manakala RM160 juta telah diluluskan untuk membiayai penajaan pelajar baharu.

Selain JPA dan MARA, pihak yang banyak menawarkan pem­bia­yaan pendidikan adalah syarikat milik kerajaan (GLC) sebagai persediaan mencari dan membentuk bakat terbaik.

Berdasarkan rekod, GLC utama negara telah membelanjakan kira-kira RM599 juta untuk biasiswa antara 2004 hingga 2014 dengan Petronas sahaja sejak 1975 telah menaja lebih 35,000 pelajar.

Selain itu, Telekom Malaysia (TM) turut aktif menerusi Yayasan TM (YTM) yang telah ditubuhkan dengan objektif menggalakkan pelajar melanjutkan pengajian dengan memberikan biasiswa, geran, dermasiswa, elaun sara hidup dan bantuan kewangan kepada golongan pelajar tanpa me­ngira latar belakang keluarga.

Sejak penubuhannya pada 1994, YTM telah menaja 13,000 pelajar yang berkelayakan untuk melanjutkan pengajian mereka di sekolah-sekolah kerajaan serta universiti-universiti di Malaysia dan luar negara, dengan jumlah tajaan melebihi RM462 juta.

Sebuah lagi GLC, Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui Yayasan Tenaga Nasional pula menaja lebih 10,000 pelajar sejak penubuhannya pada 1993.

Ternyata, program biasiswa kendalian GLC bukan sahaja menyumbangkan bakat yang terbaik buat organisasi masing-masing tetapi juga memenuhi keperluan negara dengan menyediakan bakat-bakat berkemahiran tinggi dalam pelbagai bidang untuk memenuhi permintaan industri dan bidang-bidang lain.

Apa pun, setiap penaja pasti meletakkan kecemerlangan sebagai asas utama dengan setiap permohonan melalui proses pemilihan yang ketat, terperinci dan berdasarkan merit di sam­ping kriteria lain termasuk prestasi pemohon ketika temu duga.

  • Sumber http://www.utusan.com.my/rencana/biasiswa-pelbagai-kriteria-diambil-kira-1.411484
Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.