Usahawan Bumiputera Perlu Lebih Berdaya Saing

Pengerusi MARA, Tan Sri Datuk Seri Panglima Annuar Musa (dua dari kiri) bersama Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad melancarkan simbolik perasmian Kelantan Fiesta 2016 di Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh Hazmin Hussin

Pengerusi MARA, Tan Sri Datuk Seri Panglima Annuar Musa (dua dari kiri) bersama Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad melancarkan simbolik perasmian Kelantan Fiesta 2016. Foto oleh Hazmin Hussin

oleh Ahmad Soffian Mohd Shariff
media@mara.gov.my

Kuala Lumpur, 23 November – Usahawan Bumiputera disaran untuk keluar dari zon selesa sebaliknya perlu berdaya saing dengan meneroka pelbagai peluang baharu termasuk menembusi pasaran sehingga ke peringkat global.

Menurut Pengerusi MARA, Tan Sri Datuk Seri Panglima Annuar Musa, kegagalan untuk menyahut cabaran untuk menerokai pelbagai pasaran baharu akan membunuh semangat dan ingenuity seseorang untuk mengejar kejayaan yang lebih tinggi sekali gus merencatkan usaha untuk melihat golongan Bumiputera menguasai ekonomi negara.

“Pelbagai kemudahan keusahawanan telah disediakan oleh kerajaan dalam pelbagai konteks termasuk platform promosi yang mana para usahawan perlu mengambil peluang ini untuk terus meningkatkan aktiviti perniagaan dan berubah dengan tidak mudah berpuas hati dengan pencapaian sedia ada serta berada paras atau takuk yang lama,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Kelantan Fiesta 2016 di sini hari ini yang bertujuan mempromosikan produk usahawan MARA khusus dari Negeri Kelantan Darul Naim.

Mengulas lanjut berkenaan Kelantan Fiesta, Annuar menjelaskan bahawa aktiviti seperti ini merupakan antara inisiatif berterusan MARA dalam membantu usahawan Negeri Kelantan untuk memasarkan produk keluaran negeri tersebut kepada pasaran yang lebih luas bukan malah aktiviti ini juga diteruskan dengan melibatkan usahawan dari negeri lain juga.

“Saya ingin mengingatkan kepada semua para usahawan Kelantan dan juga dari negeri-negeri lain agar berubah mengikut arus zaman dengan memastikan produk yang dikeluarkan mempunyai nilai komersil yang tinggi sehingga boleh dipasarkan bukan sahaja di luar negeri masing-masing tetapi juga di seluruh dunia,” kataya lagi.

Jelasnya lagi, kita perlu melihat kejayaan yang ditempa oleh bangsa-bangsa Asia yang lain seperti Korea, Jepun dan juga China yang mana mereka telah berjaya mengkomersilkan barangan tempatan mereka sehingga menjadi tagihan masyarakat antarabangsa.

“Antaranya kita boleh mencontohi kejayaan Negara China yang telah meledakkan ekonomi negara mereka melalui strategi yang komprehensif untuk membangunkan usahawan bermula dari industri kecil dan sederhana sehingga dapat membina syarikat konglomerat yang berkembang dengan begitu pesat,” jelas beliau.

Advertisements
This entry was posted in Usahawan and tagged , . Bookmark the permalink.