MARA Longgar Syarat Kemasukan Ke Tingkatan Satu MRSM 2017

syaratmrsmupsr

KUALA LUMPUR, 23 November – Selaras dengan pengumuman keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini, MARA telah meneliti dan membuat pengubahsuaian terhadap syarat kemasukan ke Tingkatan Satu Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) bagi tahun 2017.

Menurut Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, MARA menetapkan keputusan minimum 3A 3B  bagi calon Semenanjung Malaysia manakala keputusan minimum 3A 2B 1C bagi calon di Sabah dan Sarawak pada peperiksaan UPSR 2016 sebagai syarat baharu kemasukan ke Tingkatan Satu MRSM 2017.

“Walaupun syarat ini dilonggarkan, kita masih memberi keutamaan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah di luar bandar dan bandar serta calon-calon yang bergiat aktif dalam bidang kepimpinan, kokurikulum dan sukan,” katanya.

Tegasnya lagi, keutamaan kemasukan ke MRSM kepada golongan ini dititikberatkan kerana  pendidikan yang terbaik dan berkualiti merupakan faktor terpenting dalam usaha pembasmian kemiskinan di samping memacu usaha “Membandarkan Luar Bandar”.

“Ini adalah selaras dengan matlamat penubuhan MRSM yang bukan sekadar menyediakan peluang pendidikan tetapi merupakan agen perubahan sosioekonomi penduduk luar bandar melalui pendidikan berkualiti yang seterusnya diterjemahkan kepada peningkatan kehidupan yang lebih sempurna,” katanya lagi.

 

Advertisements
This entry was posted in Lain-Lain and tagged , , , . Bookmark the permalink.