Inovasi Wujud Asia Aerospace City Beri Manfaat Besar Kepada Rakyat

Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob (lima dari kanan) bergambar bersama pemenang Anugerah Inovasi Peringkat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob (lima dari kanan) bergambar bersama pemenang-pemenang Anugerah Inovasi Peringkat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

oleh Azurawani Wan Mohamed
media@mara.gov.my

KUALA LUMPUR, 23 November – Inisiatif serta inovasi MARA dengan merangkumkan sektor keusahawanan, pendidikan dan pelaburannya seperti mewujudkan Asia Aerospace City (AAC) merupakan satu usaha yang amat baik dalam memberi manfaat yang besar kepada rakyat dalam pelbagai sudut.

Menurut Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, pembangunan AAC melalui pengenalan konsep Edubizpark dengan menempatkan Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT), kemudahan hangar dan maintenance, repair and overhaul (MRO) berteknologi tinggi, pusat perniagaan serta persidangan bertaraf antarabangsa merupakan inovasi yang amat baik dalam membuka peluang kepada rakyat untuk menceburi bidang aeroangkasa yang menjanjikan pendapatan yang lumayan.

“Pembentukan ekosistem baru keusahawanan ini ini akan meningkatkan pekerja kompetensi dan profesional, peningkatan penguasaan serta penyertaan Bumiputera dalam industri aeroangkasa di samping mempertingkatkan aktiviti ekonomi di kawasan sekitar malah memberi peluang kepada para pelajar mendapatkan pendidikan terbaik melalui pendedahan peluang dan pengalaman keusahawanan secara hands on,” katanya.

Tambahnya lagi, beliau turut berbangga dengan pelbagai inovasi yang telah dilaksanakan oleh agensi di bawah KKLW yang telah mencipta pelbagai produk dan program sekali gus memberi manfaat besar kepada rakyat dan berharap agar budaya inovasi ini akan terus dilipatgandakan bagi peningkatan taraf hidup serta kesejahteraan masyarakat terutamanya di luar bandar .

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Sambutan Hari Inovasi Peringkat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di sini hari ini.

“Bagi tahun ini, kita memilih tema Inovasi Pemacu Masyarakat Kreatif untuk memandu arah tuju KKLW serta agensi sebagai usaha menjadikan inovasi sebagai catalyst dalam membantu meningkatkan pembangunan infrastuktur dan ekonomi masyarakat luar bandar,” katanya lagi.

Sementara itu, MARA telah mengungguli tempat pertama bagi kategori Anugerah Kualiti Pengurusan Sumber Manusia dan Anugerah Penilaian Outcome Terbaik di samping menduduki tempat ke-2 bagi kategori Anugerah Kualiti Pengurusan Kewangan serta kategori Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam (Pengurusan) sempena sambutan hari inovasi ini.

Advertisements
This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.