Warga Kerja Nadi Kecemerlangan MARA

thumbnail_4u7a0333

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi (tiga dari kiri) menyampaikan penghargaan kepada pesara MARA

KUALA LUMPUR, 18 November – Sepanjang 50 tahun penubuhannya, MARA telah memainkan peranan yang cukup signifikan dalam melahirkan modal insan yang berkualiti kepada negara dalam bidang keusahawanan mahu pun pendidikan.

Menurut Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi, kecemerlangan ini sudah pasti berpaksikan kepada warga kerja MARA yang terbukti cemerlang serta berintegriti dalam menjunjung amanah rakyat.

“Warga kerja merupakan aset terpenting MARA dalam menentukan kejayaannya dalam usaha meningkatkan status sosio ekonomi Bumiputera sekali gus menjadi pemangkin pembangunan negara pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Apresiasi Perkhidmatan MARA 2016 yang meraikan warga kerja yang bersara serta telah berkhidmat selama 25 dan 40 tahun bersama MARA. Seramai 385 warga MARA termasuk subsidiari diraikan sempena majlis ini.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua tetamu yang diraikan atas dedikasi, komitmen serta sumbangan yang tidak berbelah bahagi sepanjang berkhidmat malah menyeru agar mereka terus berbakti kepada organisasi keramat ini.

“Kita sentiasa mengalu-alukan agar pesara terus menyumbang dalam pelbagai cara seperti curahan kepakaran kepada generasi baharu mahu pun dalam bentuk idea ke arah hala tuju MARA yang lebih gemilang,” katanya lagi.

Advertisements
This entry was posted in Korporat and tagged . Bookmark the permalink.