Usahawan Bumiputera digesa rebut peluang ASEAN

KUALA LUMPUR 16 NOVEMBER 2016. Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan ucap tama di Majlis Engagement Mara bersama NGO Usahawan Bumiputra. NSTP/ MOHD YUSNI ARIFFIN

KUALA LUMPUR 16 NOVEMBER 2016. Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan ucap tama di Majlis Engagement Mara bersama NGO Usahawan Bumiputra. NSTP/ MOHD YUSNI ARIFFIN

KUALA LUMPUR: Usahawan Bumiputera digesa supaya merebut peluang dalam pasaran halal sekali gus memperluas rangkaian perniagaan di rantau ASEAN dan negara lain.Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga kini pasaran halal di kalangan negara ASEAN dikuasai oleh 90 peratus usahawan bukan Bumiputera.

“Permintaan industri halal antarabangsa cukup besar dan luas untuk kita tembusi, terutamanya China dan Jepun yang kini membuka peluang kepada produk halal berikutan peningkatan penduduk dan pelancong yang beragama Islam ke negara berkenaan.

“Produk halal juga kini mendapat perhatian di negara Eropah berikutan jaminan kebersihan produk yang ditawarkan.

“Sebanyak 40 peratus penduduk ASEAN juga terdiri dalam golongan berpendapatan sederhana yang mana bersesuaian dengan produk dan perkhidmatan yang sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian sekali gus merasmikan Majlis Usahasama Majlis Amanah Rakyat (MARA) bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Usahawan Bumiputera di Hotel Premiera, di sini.

Beliau berkata, pemasaran produk halal ke luar negara mampu menjadi teras kepada inovasi dan transformasi ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.

Bagaimanapun, Ismail berkata, usahawan Bumiputera perlu lebih kreatif dan inovatif dalam persaingan pasaran yang kompetitif di peringkat antarabangsa.

Katanya, sebagai pemudahcara MARA turut menyediakan pinjaman melalui Strategi Lautan Biru (NBOS) iaitu Skim Pinjaman MARA (SPIM) dan Skim Jaminan Usahawan (SJUM).

” MARA juga membantu usahawan melalui pemilikan aset dan ekuiti dalam membeli saham syarikat bagi menggalakkan pelaburan di kalangan usahawan Bumiputera.

“Dalam usaha membangunkan modal insan pelbagai bidang, MARA turut berkolaborasi dengan NGO dalam merangka pelbagai program keusahawan bagi menggalakkan pertumbuhan budaya keusahawanan di kalangan usahawan Bumiputera,” katanya.

  • Sumber dari Berita Harian Online
Advertisements
This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.