KOMITED BANGUNKAN USAHAWAN BUMIPUTERA KE PERSADA GLOBAL

20161116_174653

Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob  (lima dari kanan) bergambar bersama NGO usahawan Bumiputera

oleh Lina Mastura Jasmawi
media@mara.gov.my

Kuala Lumpur, 16 November –Usahawan Bumiputera disaran agar bergabung serta menjalin kerjasama erat bersama NGO usahawan Bumiputera dalam melengkapi rantaian nilai ekonomi negara.

Menurut Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, para usahawan Bumiputera juga perlu menerokai pelbagai bidang perniagaan baharu di samping berusaha untuk terus kekal dan berdaya saing dalam menghadapi perubahan ekonomi global pada hari ini.

“Justeru, satu Jawatankuasa Pemandu Pembangunan Usahawan di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan diwujudkan yang memberi fokus kepada jaringan kolaborasi bersama agensi-agensi kerajaan dalam memberikan khidmat bantuan bagi memperkasakan lagi usahawan-usahawan Bumiputera,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan senantiasa komited dalam membantu usahawan Bumiputera dan kita percaya usahawan-usahawan akan mampu untuk menguasai pasaran bukan sahaja dalam negara tetapi turut melangkau ke peringkat global.

“Para usahawan Bumiputera juga perlu memberi tumpuan kepada pasaran ASEAN memandangkan 40% daripada penduduk rantau ini mempunyai kuasa beli yang tinggi terhadap sesuatu produk atau perkhidmatan,” tegasnya.

Tambahnya lagi, pasaran ke negara Jepun dan China juga mempunyai prospek yang tinggi untuk diterokai oleh para usahawan terutama dalam industri halal.

Beliau berkata demikian ketika hadir menyempurnakan Engagement MARA bersama NGO usahawan Bumiputera di sini hari ini.

Program ini melibatkan 250 orang usahawan di bawah NGO seperti Persatuan Kontraktor-Kontraktor Melayu Malaysia, Persatuan Pengusaha Industri Perabot Bumiputera Malaysia, Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia.

Advertisements
This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.