Gerakkan Aktiviti Hebahan Maklumat Secara Bersepadu

nod:vb;hvopsjv

Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Dato’ Mohd Arif Ab Rahman (barisan depan lima dari kiri) bersama-sama PRO KKLW dan Agensi

Melaka, 15 November – Kesemua Pegawai Perhubungan Awam (PRO) agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) digesa untuk bergerak sebagai satu pasukan memastikan hebahan maklumat berkenaan peranan serta kemudahan yang disediakan oleh kementerian sampai sepenuhnya kepada segenap lapisan rakyat.

Menurut Ketua Setiausaha KKLW, Dato’ Mohd Arif Ab Rahman, sehingga kini terdapat 10 agensi di bawah KKLW yang mana jika program mahu pun aktiviti publisiti dijalankan secara bersendiri, sudah pasti akan menggagalkan pengurusan perhubungan antara kementerian serta orang awam sekali gus merencatkan misi dan visi kita.

“Unit Komunikasi Korporat KKLW memainkan peranan dalam menyelaras kesemua aktiviti publisiti di bawah satu pelan media dan diharapkan kesemua PRO Agensi memberi kerjasama erat serta berdedikasi dalam memberi input serta idea bagi memastikan kejayaan pelan yang dirancang,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menggesa agar kesemua PRO keluar dari zon selesa dengan meneroka pelbagai pengalaman di tempat lain bagi meningkatkan lagi ilmu dan pengalaman dalam memenuhi tuntutan pengguna masa kini yang kian mencabar.

“Saya juga berharap agar penempatan silang PRO di antara agensi KKLW dapat diwujudkan dalam membuka peluang kepada mereka menimba ilmu di suasana dan situasi yang berlainan sekali gus meningkatkan kompetensi mereka dalam memainkan peranan sebagai jambatan penghubung organisasi dengan kerajaan,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama sempena Program Retreat PRO KKLW dan Agensi anjuran MARA di sini hari ini. Seramai 40 PRO KKLW dan Agensi termasuk daripada subsidiari MARA menghadiri program ini.

“Program seumpama ini perlu diteruskan sekurang-kurangnya empat kali setahun bagi membolehkan kesemua PRO KKLW dan Agensi berkumpul untuk bertukar-tukar pendapat dan idea bagi memperkasakan program promosi dan publisiti kementerian sekali gus memberi manfaat besar kepada rakyat,” jelasnya lagi

Yang turut hadir ialah Pengarah Komunikasi Korporat MARA, Nor Hashimi Mahat, Pengarah MARA Negeri Melaka, Abdul Wahab, PRO Agensi-Agensi KKLW serta Subsidiari MARA.

Advertisements
This entry was posted in Korporat and tagged , . Bookmark the permalink.