GEMPA BUMI: PELAJAR TAJAAN MARA DI NEW ZEALAND SELAMAT

tsam_tsunami2

Kuala Lumpur, 14 November – Majlis Amanah Rakyat (MARA) memaklumkan bahawa tiada pelajar tajaannya yang terlibat dalam bencana gempa bumi yang melanda New Zealand.

Menurut Pengerusi MARA, Tan Sri Datuk Seri Panglima Annuar Haji Musa, kesemua pelajar tersebut kini berada dalam keadaan selamat dan terkawal.

“Pihak kami melalui Pejabat MARA Australia kini sedang memantau keadaan semua pelajar tersebut yang mana mereka turut diarahkan untuk mematuhi arahan pihak berkuasa New Zealand dari semasa ke semasa,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan agar kesemua ahli keluarga dan waris pelajar bertenang atas situasi ini yang mana pihak MARA akan memaklumkan sebarang keadaan terkini dari semasa ke semasa.

“MARA juga sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa New Zealand sekiranya terdapat sebarang keperluan untuk kita membantu pelajar-pelajar tersebut,” katanya lagi.

Untuk rekod, terdapat 495 orang pelajar tajaan MARA melanjutkan pengajian di New Zealand yang mana daripada jumlah ini, seramai 83 pelajar menuntut di universiti sekitar Wellington.

Semalam, satu gempa bumi kuat pada magnitud 7.8 melanda Pulau Selatan New Zealand yang berpusat 91 kilometer di timur timur laut Christchurch.

Advertisements
This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.