YPM belanja RM2.9 juta biaya Tuisyen Rakyat

ypm

SEREMBAN 8 Nov. – Yayasan Pelajaran MARA (YPM) membelanjakan sejumlah RM2.9 juta bagi membiayai 49 kelas bimbingan Tuisyen Rakyat khusus untuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di seluruh negara.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Abdul Karim Mustafa berkata, program dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu telah dimanfaatkan oleh 494,000 calon SPM luar bandar dari kalangan keluarga berpendapatan rendah.

“Selain membantu perkembangan akademik, YPM turut menitikberatkan pencapaian cemerlang serta pembangunan modal insan dalam usaha membantu mereka bersaing dalam pasaran pekerjaan di masa akan datang.

“YPM komited melaksanakan program berkenaan dan telah menerima maklum balas yang positif dari pihak guru serta ibu bapa pelajar,” katanya ketika ditemui pada program edar sarapan pagi percuma kepada calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Warisan Puteri, di sini hari ini.

Menurut Abd Karim, YPM turut menerima permintaan daripada ibu bapa serta masyarakat setempat supaya program berkenaan diteruskan pada tahun hadapan sebagai persediaan awal kepada pelajar bagi menghadapi peperiksaan SPM.

“Minggu lalu, YPM ke sebuah sekolah di Kelantan dan kami dimaklumkan ramai ibu bapa dan pemimpin sekolah telah menghantar surat sokongan kepada pihak kementerian untuk meneruskan program berkenaan.

“Mereka mahu kelas tuisyen tersebut diteruskan kerana inisentif ini membantu menjana pemikiran secara di luar kotak selain menaikkan pencapaian pelajar,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.