RM200 juta untuk lahir usahawan belia

ISMAIL SABRI YAAKOB menyampaikan Anugerah Platinum kepada pelajar cemerlang, Nur Fatin Hanani Nor Azminuddin dalam Majlis Konvokesyen Ke-33 Kolej Poly-Tech Mara di Putrajaya, semalam. Turut hadir Sabarudin Mohd. (dua dari kanan). Utusan/ZAKI AMIRUDDIN

ISMAIL SABRI YAAKOB menyampaikan Anugerah Platinum kepada pelajar cemerlang, Nur Fatin Hanani Nor Azminuddin dalam Majlis Konvokesyen Ke-33 Kolej Poly-Tech Mara di Putrajaya, semalam. Turut hadir Sabarudin Mohd. (dua dari kanan). Utusan/ZAKI AMIRUDDIN

PUTRAJAYA 2 Nov. – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memperuntukkan hampir RM200 juta untuk program pembangunan usahawan untuk tahun depan dalam usaha mewujudkan lebih ramai usahawan terutama­nya dalam kalangan belia.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peruntukan itu merangkumi dana RM120 juta yang disalurkan menerusi MARA manakala selebihnya kepada agensi-agensi di bawah kementerian itu.
“Insentif ini dibuat kerana kerajaan tidak mahu golongan belia hanya menjadi pencari kerja semata-mata tetapi ingin menjadikan mereka sebagai pencipta pekerjaan menerusi peluang ke­usahawanan yang diterokai.

“Kita sentiasa menitikberatkan soal ini agar belia diberikan peluang menceburi bidang usahawan, sekali gus mendatangkan pendapatan lumayan kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Ke-33 Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.
Yang hadir sama Pengerusi KPTM, Datuk Ahmad Nazlan Idris; Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif KPTM, Prof. Datuk Dr. Sabarudin Mohd.

Majlis Konvensyen KPTM yang berlangsung sejak Isnin lalu dan berakhir hari ini menyaksikan 7,357 graduan dari cawangan seluruh negara menerima diploma dan ijazah masing-masing.
Dalam masa sama, Ismail Sabri memaklumkan, sejak ditubuhkan 34 tahun lalu, KPTM berjaya mela­hirkan 39,843 graduan di pe­ringkat ijazah sarjana muda, diploma dan sijil dalam pelbagai bidang.
Katanya, daripada jumlah tersebut, hanya 11 peratus graduan KPTM menceburi bidang keusahawan berbanding sasaran 20 peratus ditetapkan oleh institusi pengajian tinggi tersebut.

“Sehubungan itu, KPTM bersama institusi pendidikan di bawah MARA akan menekankan soal pendidikan keusahawanan menerusi tawaran kursus pengajian bidang tersebut untuk memupuk pelajar meminati bidang usahawan,” katanya.

Sumber : http://www.utusan.com.my/berita/nasional/rm200-juta-untuk-lahir-usahawan-belia-1.402900#sthash.vOWaGvnF.dpuf

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.