Inovasi Melestarikan Keusahawanan Global

Para pemenang Inovasi MARA bergambar kenang-kenangan bersama Menteri KKLW Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob (tengah) sempena Anugerah Inovasi MARA 2016.

Para pemenang Inovasi MARA bergambar kenang-kenangan bersama Menteri KKLW Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob (tengah) sempena Anugerah Inovasi MARA 2016.

oleh Ahmad Soffian Bin Mohd Shariff
media@mara.gov.my

Kuala Lumpur, 3 November 2016 – Majlis Amanah Rakyat (MARA) terus konsisten dengan mengutamakan inovasi sebagai teras kepada usaha membangunkan bidang keusahawanan dan pendidikan sehingga ke peringkat global.

Menurut Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, keutamaan dalam penghasilan inovasi melalui pelbagai transformasi merupakan antara perkara yang diberikan perhatian khusus oleh kerajaan dalam usaha mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

“Mendepani hasrat ini, MARA selaku agensi pemegang amanah turut berubah daripada bersifat governmental based organization kepada an entrepreneurial based organization yang mana melalui perubahan ini, pegawai-pegawai MARA turut ditransformasikan dengan fokus kepada development oriented dan bukan lagi menjadi administrative oriented dalam membangunkan masyarakat terutama dalam konteks keusahawanan” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Anugerah Inovasi MARA 2016 bertempat di Lobi Medan MARA, Ibu Pejabat MARA Kuala Lumpur.

Ismail turut mengulas, tema “Inovasi Melestarikan Keusahawanan Global” pada tahun ini amat bertepatan dalam menyuburkan budaya inovasi secara berterusan kepada seluruh warga MARA dan seterusnya diterjemahkan kepada pelbagai inisiatif baru serta transformasi yang memberi manfaat kepada rakyat dan juga negara.

“Hasil inovasi pemimpin terdahulu, MARA telah berjaya memainkan peranannya selaku socioeconomic engeneering agency dalam menyumbang kepada pembinaan negara Malaysia yang makmur yang mana jumlah penerima manfaat atau beneficiaries agensi ini telah mencecah lebih 2 juta orang melalui program keusahawanan mahu pun pendidikan yang dijalankan,” katanya lagi.

Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan terus komited membantu MARA secara berterusan dalam mempelbagaikan program keusahawanan seperti perusahaan industri halal, pembangunan usahawan belia dan juga memperkasakan lagi usaha membangunkan modal insan melalui aktiviti pendidikan.

Majlis Anugerah Inovasi MARA pada kali ini menyaksikan sebanyak enam (6) kategori utama dipertandingkan meliputi Kategori Produk (Sekolah) yang dimenangi oleh MRSM Kubang Pasu, Kedah manakala Kategori Produk (Warga Kerja) pula dimenangi oleh Kolej Universiti Poly-Tech MARA (KUPTM), Kuala Lumpur selain Kategori Produk (Komuniti) yang diungguli oleh UniKL MIIT.

Manakala itu, Bahagian Kemahiran Teknikal MARA telah mengungguli Kategori Perkhidmatan (Tadbir Urus Korporat) sementara bagi Kategori Perkhidmatan (Idea Perniagaan) pula dimenangi MJII Beranang, Selangor serta Kategori Perkhidmatan (Pendidikan & Latihan) dimenangi oleh Kolej MARA Kuala Nerang, Kedah.

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan, Usahawan. Bookmark the permalink.