Ceburi bidang usahawan guna platform MARA

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama pelajar cemerlang Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat yang menerima Anugerah Platinum, Nur Fatin Hanani Nor Azminuddin dan ibu bapanya, Norkhorsiah Mahmud dan Nor Azminuddin Nordin pada Majlis Konvokesyen Kali Ke-33 Kolej Poly-Tech MARA di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. - Foto Bernama

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama pelajar cemerlang Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat yang menerima Anugerah Platinum, Nur Fatin Hanani Nor Azminuddin dan ibu bapanya, Norkhorsiah Mahmud dan Nor Azminuddin Nordin pada Majlis Konvokesyen Kali Ke-33 Kolej Poly-Tech MARA di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. – Foto Bernama

PUTRAJAYA – Graduan Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) perlu merebut peluang menceburi bidang keusahawan melalui platform Majlis Amanah Rakyat (MARA) termasuk mengikuti kursus keusahawanan yang ditawarkan, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata meskipun graduan KPTM, yang merupakan Institut Pendidikan Tinggi (IPT) milik MARA, mempunyai tahap kebolehpasaran yang baik, iaitu 72 peratus, namun mereka tidak harus hanya memikirkan untuk makan gaji sahaja sebaliknya meneroka peluang untuk menceburi bidang keusahawanan.

“Untuk 2017, MARA memperuntukkan sebanyak RM120 juta bagi program pembangunan usahawan dan sebagai graduan di peringkat tinggi, lepasan KPTM perlu bijak merebut peluang tersebut dalam merancang kerjaya masa depan,” katanya.

Bercakap pada sidang media selepas menghadiri Konvokesyen ke-33 KPTM di sini hari ini, Ismail Sabri berkata ketika ini hanya 11 peratus daripada lepasan KPTM berjaya menjadi usahawan daripada 20 peratus yang disasarkan.

“Walaupun kebolehpasarannya tinggi tetapi kita seharusnya tidak terlalu bergantung kepada faktor itu untuk bekerja dengan orang sebaliknya perlu menggunakan peluang yang ada untuk mencipta peluang pekerjaan untuk orang lain,” katanya.

Berlangsung selama empat hari dan akan berakhir esok, konvokesyen KPTM melibatkan 7,357 graduan peringkat diploma dan sijil dalam pelbagai program pengajian.

Pada majlis tersebut Nur Fatin Hanani Nor Azminuddin, 21, dipilih sebagai penerima Anugerah Platinum iaitu anugerah tertinggi yang diberi kepada pelajar cemerlang KPTM.

Anak bongsu daripada empat adik yang menamatkan pengajian dalam Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.98 itu kini sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang dalam bidang Pengurusan. –Bernama

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/nasional/ceburi-bidang-usahawan-guna-platform-mara-1.580861

Advertisements
This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.