KPTM-KESEDAR sedia akses pendidikan tinggi

1p9

Penubuhan Kolej Poly-Tech MARA KESEDAR (KPTM-KESEDAR) membuka peluang kepada golongan muda di wilayah Kelantan Selatan untuk menyambung pelajaran di peringkat lebih tinggi tanpa perlu berhijrah ke bandar dan kota besar.

Menurut Pengarah KPTM-KESEDAR, Wan Mohamad Wan Daud, KPTM-KESEDAR yang ditubuhkan pada 2011 merupakan kampus cawangan KPTM kesembilan dan kampus cawangan kedua KPTM yang beroperasi di kawasan luar bandar selepas Semporna di Sabah.

“Pelajar KPTM-KESEDAR terdiri daripada penduduk dari seluruh negara, namun majoriti adalah dari kawasan Kelantan Selatan iaitu dari Gua Musang, Jeli, Kuala Krai dan Tanah Merah,” katanya.

KPTM-KESEDAR adalah hasil kerjasama pertama KPTM dengan KESEDAR dengan kampusnya terletak di Taman Etnobotani, Gua Musang.

1p

Kerjasama Majlis Amanah Rakyat (MARA), KESEDAR dan KPTM melalui KPTM-KESEDAR ini merupakan satu lagi inisiatif Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang diyakini boleh membangunkan Wilayah Kelantan Selatan terutamanya di jajahan Gua Musang.

Pembukaan KPTM-KESEDAR telah membantu merancakkan lagi pembangunan di kawasan KESEDAR dari segi pertumbuhan ekonomi dan membuka peluang pendidikan kepada rakyat di luar bandar.

Tambah Wan Mohamad, berkonsepkan ‘kampus dalam taman’ KPTM-KESEDAR menawarkan program Diploma Pengurusan Sumber Manusia dan kini mempunyai seramai 658 pelajar dan dibantu kira-kira 41 kakitangan.

Katanya, KPTM-KESEDAR bercadang untuk memperkenalkan program diploma perniagaan dan agro-teknologi perladangan.

“Melalui kerjasama ini, KESEDAR menyediakan infrastruktur dan premis, manakala KPTM membekalkan kemahiran dari segi pengurusan, pembangunan manusia.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada pihak KESEDAR kerana telah menyediakan kemudahan ini dan difahamkan mereka bercadang untuk memperkembangkan lagi operasi kolej ini dengan membina enam lot bangunan lagi untuk melancarkan lagi proses pembelajaran,” katanya.

KPTM-KESEDAR kini mempunyai enam bilik kuliah, dewan serbaguna, dua makmal komputer, perpustakaan, empat buah surau, bilik gerakan pelajar, kafe, asrama dan dua bilik pensyarah.

Sementara itu, penerima Anugerah Pelajar Cemerlang KPTM-KESEDAR, Helmi Sufian Isamsuhaimi, 19, berkata, lokasi KPTM-KESEDAR yang terletak di kawasan luar bandar adalah bersesuaian kerana dapat memberi kemudahan pendidikan kepada anak tempatan di kawasan luar bandar.

“Ini membuktikan kesungguhan KPTM-KESEDAR dalam meluaskan akses kepada penduduk luar bandar untuk menikmati peluang pendidikan tinggi tanpa perlu berhijrah ke kota besar,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan and tagged . Bookmark the permalink.