MARA Dapat Banyak Faedah Kerjasama OISCA

Ibrahim Ahmad (tengah) mengiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail (dua kiri) berbual dan beramah mesra bersama peserta-peserta dari Jepun pada Majlis Makan Malam Forum MARA OISCA Perniagaan Antarabangsa 2016 di Hotel Primula Beach, Kuala Terengganu. foto FAREEZ FADZIL, 24 OKTOBER 2016

Ibrahim Ahmad (tengah) mengiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail (dua kiri) berbual dan beramah mesra bersama peserta-peserta dari Jepun pada Majlis Makan Malam Forum MARA OISCA Perniagaan Antarabangsa 2016 di Hotel Primula Beach, Kuala Terengganu. foto FAREEZ FADZIL, 24 OKTOBER 2016

Majlis Amanah Rakyat (MARA) mendapat banyak manfaat hasil kerjasama dengan OISCA terutama dalam modal insan dan keusahawanan.Lantaran itu, MARA akan meningkatkan kerjasama yang telah dipelopori sejak tahun 1967 untuk memberi motivasi golongan muda supaya melibatkan diri dalam perniagaan.

Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad berkata, MARA menaruh harapan dengan kerjasama ini membolehkan golongan muda dan usahawan tempatan dapat mengikuti memiliki disiplin ciri-ciri dan sikap positif masyarakat Jepun yang menjadi asas kejayaan negara itu.

“Melalui kerjasama MARA dan OISCA, kita menyediakan platform kepada semua golongan yang memerlukan teknologi, nilai tambah, pemikiran strategik yang menjadi amalan masyarakat Jepun,” katanya ketika berucap di majlis makan malam MARA OISCA International Business Forum di sini.

Majlis itu turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail.

OISCA adalah sebuah organisasi bukan kerajaan Jepun yang memberi fokus kepada pembangunan modal insan dan kelestarian alam sekitar. Ia mempunyai mempunyai cawangan di 36 negara dan menjadi penaung kepada syarikat-syarikat gergasi Jepun seperti Toyota dan Honda.

Menurut beliau, MARA juga berharap usahawan dan modal insan yang dilahirkan melalui program bersama OISCA dapat berkongsi pengalaman dan kemahiran mereka kepada orang lain supaya manfaatnya dapat diraih bersama.

Dalam ucapannya itu, Ibrahim juga menegaskan MARA akan memberi penumpuan dan pendedahan keusahawanan di kawasan luar bandar selari dengan kedudukannya di bawah Kementerian Luar Bandar dan Wilayah.

“Seperti di Perlis, MARA akan berada di setiap sudut negeri itu, begitu juga di Kota Tinggi dan Mersing. Di Terengganu, kami menyasarkan untuk berada di Kuala Berang dan Ketengah.

“Apa yang kami lakukan ini sama dengan seperti yang berlaku di Shah Alam pada tahun 1970an dan Bangi. Kawasan-kawasan ini semakin maju kerana ada gerakan pembangunan strategik,” ujarnya sambil meramalkan Ketengah akan menjadi wilayah maju selepas projek pembinaan lebuh raya di kawasan itu siap. – MalaysiaGazette

Advertisements
This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.