Peserta puji penganjuran MARA OISCA

This slideshow requires JavaScript.

Para peserta MARA OISCA International Business Forum menghargai dan memuji usaha Majlis Amanah Rakyat (Mara) dalam membantu usahawan tempatan dalam melebarkan sayap perniagaan mereka.

Selain itu, mereka menyifatkan pentas seumpama itu dapat digunakan untuk membincang dan menyelesaikan masalah-masalah berbangkit yang dihadapi oleh peniaga-peniaga kecil.

Seorang usahawan kosmetik, Norlina Sharkhan berkata, MARA OISCA merupakan platform terbaik bagi usahawan yang mahu berjinak-jinak meluaskan empayar masing-masing ke luar negara.

Beliau yang terlibat dalam pembekal komponen tulen bagi alat-alat kosmetik dan kecantikan menambah dengan forum seumpama ini para peniaga dapat pendedahan lebih luas, selain membina rangkaian perniagaan dengan cara yang betul.

“Macam saya, memiliki produk dan juga seorang usahawan OEM, lantaran itu forum seumpama ini adalah platform yang betul untuk peniaga seperti kami.

“Beberapa jam berada di dalam forum ini, saya mendapat banyak maklumat, ilmu untuk memajukan bisnes ke satu peringkat yang lebih baik,” katanya yang telah meluaskan perniagaan di Brunei dan Singapura.

Beliau berkata demikian selepas MARA OISCA International Business Forum yang dianjurkan selama dua hari di Kuala Terengganu bermula hari ini.

Seramai 120 orang usahawan tempatan terlibat dalam forum tersebut.

Sementara itu, Pengarah Antarabangsa OISCA-International, Yunoshin Kuroda pula menyifatkan forum antarabangsa itu memudahkan ahli-ahli perniagaan Jepun mencari peluang usaha sama dengan Malaysia.

Beliau berkata, penyertaannya pada tahun ini untuk mencari usahawan tempatan yang boleh membantu membekalkan ayam halal ke Jepun.

“Kami di Jepun sedang meneroka produk-produk makanan halal kerana terdapat keperluan dan permintaan yang semakin meningkat.

“Memandangkan Malaysia begitu popular dengan produk dan perkhidmatan halal, maka dengan penyertaan MARA OISCA ini saya berharap ia dapat membantu usahawan-usahawan Jepun,” ujarnya sambil memberitahu ada terlibat dalam padanan perniagaan dalam forum tersebut.

Sementara itu, Yoshimi Kawamura yang terlibat membantu memudahkan rundingan perniagaan usahawan Jepun dan Malaysia berkata, Terengganu memiliki kelebihan dalam produk-produk yang dihasilkan terutama kraf tangan dan makanan.

Cuma, hasil produk-produk itu perlu ditambah baik dari aspek pembungkusan, rekaan dan pemasaran.

Sehubungan itu, katanya, Yoshimi berkata, penganjuran MARA OISCA ini dapat membuka mata usahawan-usahawan untuk menambah baik produk-produk mereka supaya ia dapat dipasarkan ke peringkat global.

“Bagi saya Pasar Payang adalah ‘Jewel Box’ semua produk yang dihasilkan sangat mengagumkan dan mampu menarik perhatian kepada sesiapa sahaja.

“Masalahnya cuma produk-produk ini perlu ditingkatkan dalam aspek pembungkusan, rekaan yang lebih sofistikated bagi memenuhi cita rasa antarabangsa. Lain-lain memang tidak ada masalah.

“Melalui forum ini, saya berharap usahawan tempatan dapat membaiki hasil ke tahap lebih baik dan agensi seperti Matrade dapat membantu mereka,” katanya.

Sumber : http://ori.malaysiagazette.com/ms/ekonomi/peserta-puji-penganjuran-mara-oisca

Advertisements
This entry was posted in Usahawan and tagged , . Bookmark the permalink.