MARA anjur forum perniagaan antarabangsa

utusan_malaysia_27cm_x_10col_32-7cm-transformed

KUALA TERENGGANU: Majlis Amanah Rakyat (MARA) terus konsisten dalam memartabatkan Bumiputera melalui peluang keusahawanan sehingga ke peringkat global apabila menganjurkan “The 5th MARA-OISCA International Business Forum” di Hotel Primula, di sini pada 24 dan 25 Oktober ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, forum itu adalah program kerjasama antara MARA dan Organization for Industrial, Spiritual and Cultural Advancement (OISCA) International Chapter bagi melonjakkan lagi peluang perniagaan serta perkongsian ilmu serta kepakaran daripada negara luar kepada usahawan Malaysia.

“Program ini bertujuan menyediakan platform bagi kerajaan, ahli perniagaan, ahli akademik dan masyarakat awam untuk membincang strategi dalam memperkukuhkan kerjasama dan integrasi ekonomi serta perkongsian perniagaan serantau,” katanya.

Beliau berkata, susulan daripada kejayaan penganjuran kali pertama pada tahun 2012, forum itu akan membuka peluang kepada peserta untuk meraih manfaat globalisasi, termasuk mengambil bahagian dalam nilai rantaian perdagangan global, teknologi inovasi dan seterusnya membentuk rangkaian perkongsian pelaburan bersama negara peserta OISCA.

“Bertemakan “Honoring The Past, Treasuring The Present, Shaping The Future” lebih daripada 50 orang usahawan dari 36 buah negara dan 100 usahawan Bumiputera dijangka menyertai program ini yang membariskan ahli panel berpengalaman seperti Timbalan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, Pengarah Kanan MATRADE, Sharimahton Mat Saleh dan Pengurus ADABI Consumer Industries Sdn. Bhd. Mohamad Zaki Bin Abd Rajak ,” katanya.

Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata, forum kali ini menumpukan kepada industri pelancongan, makanan dan minuman, kraf, minyak dan gas, maritim dan perkhidmatan termasuk konsultasi halal yang mana pemilihan industri adalah berdasarkan kekuatan kegiatan ekonomi Pantai Timur dan juga keperluan daripada usahawan luar negara, terutamanya Jepun.

“Saya menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan negeri Terengganu atas sokongan dan juga kerjasama erat yang diberikan dalam usaha merealisasikan forum yang memberi banyak manfaat kepada usahawan kita,” katanya.

Selain itu, beliau turut menyatakan forum berkenaan mampu mewujudkan hubungan perniagaan antara usahawan Jepun dan usahawan Bumiputera bahkan diperkukuhkan lagi dengan perbincangan lebih teliti mengikut keperluan dan kemampuan syarikat-syarikat berkenaan melalui ‘business matching’ yang sudah dirancang.

“Justeru, saya menyeru kepada usahawan Bumiputera untuk memanfaatkan forum ini dengan meneroka perniagaan yang lebih luas di samping mendapatkan maklumat-maklumat mutakhir melalui perbincangan perbincangan yang diadakan,” katanya.

Sementara itu, selaku ahli OISCA sejak 1967 lagi, MARA sudah memainkan peranan yang signifikan dalam membantu organisasi ini melaksanakan program dan aktiviti terutamanya dalam bidang kerohanian, kebudayaan dan latihan industri dalam menyumbang ke arah keamanan dan kemakmuran dunia.

“Melalui kerjasama ini, ramai pelajar lepasan Institusi Pendidikan Teknikal MARA dan Vokasional MARA mendapat manfaat melalui peluang pendedahan latihan industri di Jepun dan mulai tahun ini, di samping pembangunan usahawan Bumiputera melalui pelbagai aktiviti seperti forum yang dianjurkan ini,” katanya.

Sumber : http://www.bharian.com.my/node/205049

Advertisements
This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.