MRSM MENJANA MODAL INSAN CEMERLANG DAN HOLISTIK

This slideshow requires JavaScript.

media@mara.gov.my

KUALA LUMPUR 22 Oktober – Maktab Rendah Sains MARA (MARA) terus unggul melahirkan pelajar cemerlang berteraskan nilai, sahsiah serta akhlak diri yang tinggi di samping suntikan nilai-nilai keusahawanan sekali gus menyumbang kepada kelahiran tokoh korporat, profesional, teknokrat serta pemimpin masa hadapan negara dalam pelbagai bidang.

Perkara ini diterjemahkan melalui Majlis Graduasi MRSM 2016 yang  berlangsung di MRSM seluruh negara sebagai wadah penghargaan kepada pelajar yang berjaya menamatkan pengajian peringkat menengah di maktab kebanggaan Bumiputera ini.

Di MUKAH, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tuan Yang Terutama Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud telah berkenaan untuk menyempurnakan Majlis Graduasi MRSM Mukah kali ke-6.

Seramai 112 pelajar Tingkatan Lima MRSM Mukah telah diraikan yang mana turut dihadiri oleh Ahli Pengurusan MARA, Pengawal Pusat Pentadbiran MARA di Sarawak, Yang Dipertua MUAFAKAT MRSM Mukah, serta para ibu bapa.

Turut hadir ke majlis adalah Pengarah MARA Negeri Sarawak, Megat Zakaria Mgt Ahmad dan Pengarah Pendidikan Menengah MARA , Abd. Hamid Ahmad.

Di KUCHING, seramai 112 pelajar Tingkatan Lima MRSM Kuching telah diraikan sempena Majlis Graduasi MRSM Kuching kali ke-21 yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA, Abdul Halim Abas.

Menurut Abdul Halim, MARA akan terus memberi fokus dalam memastikan modal insan yang dilahirkan di MRSM akan melanjutkan pengajian tinggi dalam pelbagai bidang strategik yang memenuhi keperluan negara dan seterusnya mereka bukan sekadar dapat memenuhi pasaran kerja, malah mempunyai nilai inovatif, kreatif serta mampu memimpin dalam segala bidang malah mampu mencipta peluang pekerjaan dengan menceburi bidang keusahawanan.

Majlis turut dihadiri oleh Yang Dipertua MUAFAKAT MRSM Kuching, Ir Zamhuri bin Hj Drahman serta Timbalan Pengarah MARA Negeri Sarawak, Abd Ghafar bin Mohamed.

Di KUANTAN, Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan) MARA, Azhar Abdul Manaf telah menyempurnakan Majlis Graduasi MRSM Kuantan kali ke-30 yang melibatkan 142 pelajar Tingkatan Lima.

Jelas Azhar, sejak diwujudkan pada 1972, MRSM telah berjaya memainkan peranan yang cukup signifikan dalam meningkatkan penyertaan pelajar Bumiputera dalam aliran sains, teknologi, pengurusan dan kerjaya profesional.

Beliau turut menjelaskan bahawa kejayaan ini boleh dibuktikan apabila ramai tokoh penting negara seperti pemimpin politik, pemimpin korporat, pemimpin kerajaan, ketua-ketua jabatan kerajaan, usahawan berjaya dan golongan profesional pada hari ini lahir dari sistem pendidikan cemerlang maktab ini.

Di TAMPIN, seramai 140 orang pelajar Tingkatan Lima telah diraikan sempena Majlis Graduasi MRSM Gemencheh kali ke-6. Turut dikenali dengan nama MRSM Ulul Albab, majlis graduasi MRSM Gemencheh turut diserikan dengan penyampaian Anugerah Huffaz kepada 75 pelajar yang telah berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran.

Menurut Pengarah Penganjuran Pelajaran MARA, Abdul Aziz Hassan semasa merasmikan majlis, sehingga kini MARA telah berjaya melahirkan 1,016 hafiz dan hafizah melalui program Ulul Albab yang dijalankan di tiga MRSM iaitu di Gemencheh (Negeri Sembilan), Kota Putra (Terengganu) dan Kepala Batas, Pulau Pinang.

Katanya lagi, melalui program Ulul Albab ini, MARA berhasrat dapat melahirkan generasi ulama’ dan ilmuan Islam bukan sahaja mampu menguasi ilmu dunia malah mempunyai keperibadian dan latar belakang agama yang unggul sekali gus mampu menyumbang kembali untuk kemajuan bangsa dan negara.

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan and tagged , . Bookmark the permalink.