MARA Tak Kompromi Isu Rasuah

Annuar Musa

Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) tidak akan berkompromi dengan mana-mana kakitangannya atau anak syarikat yang terlibat dengan rasuah.Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, sebagai institusi yang memegang amanah rakyat, MARA perlu mempunyai tahap integriti yang tinggi.

“MARA menjunjung amanah untuk membangunkan Bumiputera. Kita juga diberikan peruntukan begitu besar mencecah berbilion ringgit.

“Jika ada amalan rasuah, imej MARA akan tercalar dan misi kita akan tersasar. Jadi kita tidak boleh berkompromi langsung soal rasuah sama ada besar atau kecil,” katanya dalam sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) MARA dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Mohd Jamil dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad.

Annuar berkata, melalui MoU tersebut, SPRM akan mewujudkan unit integriti yang diketuai pegawai mereka yang pakar dalam bab pencegahan dan tindakan melibatkan kes

rasuah.

“Dengan MoU yang masuk tahun keempat ini, ruang lingkup untuk kita banteras rasuah menjadi lebih tersusun. SPRM akan beri nasihat dan kita bersedia buka pintu kepada SPRM.

“Kakitangan MARA yang melakukan rasuah jangan harap dapat sebarang perlindungan. Kita tak akan berselindung dan tak teragak-agak menyerah bulat-bulat tindakan kepada SPRM,” katanya.

– sumber  http://www.sinarharian.com.my/nasional/mara-tak-kompromi-isu-rasuah-1.575228

Advertisements
This entry was posted in Korporat. Bookmark the permalink.