
Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad (dua kiri) bertukar-tukar memorandom persefahaman dengan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Dato’ Sri Shahril Mokhtar (dua kanan).
Noor Azlina Zulkifli
media@mara.gov.my
Kuala Lumpur, 20 Oktober – Majlis Amanah Rakyat menjalin kolaborasi strategik bersama Mass Rapid Transit Corporation (MRT Corp.) di dalam bidang keusahawanan, pendidikan dan pelaburan melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada satu majlis di sini hari ini.
MARA diwakili oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Ibrahim Ahmad manakala MRT Corp. diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Sri Shahril Mokhtar.
Antara kerjasama yang akan dilaksanakan kedua belah pihak adalah program pembangunan keusahawanan dalam meningkatkan potensi penjanaan pendapatan di samping mempercepatkan pertumbuhan dan daya saing usahawan di pasaran terbuka.
Menurut Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad, antaranya adalah mewujudkan pelan pembangunan perniagaan meliputi latihan pembangunan perniagaan dan bantuan kewangan kepada usahawan Bumiputera yang ditawarkan ruang niaga di stesen-stesen MRT.
“Kerjasama turut meliputi program pendidikan dan latihan di Institusi Pendidikan MARA (IPMa) yang boleh disesuaikan dengan teknologi berkaitan dengan MRT dalam melahirkan modal insan yang berdaya saing yang selaras dengan kehendak industri,” katanya.
Ujarnya lagi, antara lain, kerjasama turut meliputi aktiviti-aktiviti pelaburan yang memberi manfaat kepada kedua belah pihak dan diharapkan jalinan kerjasama ini akan merancakkan lagi aktiviti ekonomi sekali gus membuka lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan kepada rakyat.