443 Jenama Ambil Bahagian

Pertunjukan fesyen rambut memeriahkan pelancaran ekspo.

Pertunjukan fesyen rambut memeriahkan pelancaran ekspo.

Ekspo Kecantikan (Beauty Expo) 2016 yang diadakan baru-baru ini semakin mendapat tempat dalam industri apabila mengetengahkan 443 jenama yang mengambil bahagian dan membuka pintunya kepada pelawat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 14 hingga 17 Oktober lalu.

Dianjurkan oleh UBM Asia, acara itu tahun ini menambah beberapa ciri baru dan kawasan pameran hasil tindak balas langsung kepada keperluan pasaran, potensi dan pertumbuhan industri berkenaan.

Selain pameran utama menampilkan lebih 200 syarikat yang mengambil bahagian mewakili 22 negara, beberapa zon khusus bagi kecantikan, rambut, solekan dan zon kuku termasuk astaka disediakan untuk pengeluar dan pembekal dari Korea, Taiwan, Thailand Singapura.

Edisi 2016 juga pertama kali disertai syarikat yang mengambil bahagian dengan kategori produk seperti produk halal dan Bumiputera, dengan kerjasama erat Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan sejajar aspirasi Malaysia untuk menjadi pengeluar terkemuka dunia bagi produk halal dan perkhidmatan.

Selain itu, pameran tahun ini turut menampilkan zon kesihatan dan kesejahteraan eksklusif untuk pasaran progresif baru yang sihat dan merangkumi pelbagai produk seperti vitamin, nutrisi, antioksidan, pemakanan berdasarkan umur, tenaga dan stamina, pengurusan berat badan serta makanan dan minuman yang diperkayakan.

Pertandingan tahunan yang dinanti-nantikan iaitu Pertandingan APHCA Rambut dan Solekan yang berjalan serentak dengan Pertandingan Inovasi Seni turut diadakan. Pertandingan itu anjuran bersama Persatuan Penggaya Rambut dan Kosmetologis Asia Pasifik (APHCA) dan disokong oleh Persatuan Penggaya Rambut Bumiputera (BUHA) dan Persatuan Jurusolek Artis Bumiputera Malaysia (MBMUAA).

Beauty Expo 2016 dirasmikan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Datuk Noraini Ahmad.

Pengarah Urusan – Perniagaan ASEAN, UBM Asia M Gandhi berkata, pengunjung Beauty Expo 2016 boleh mengharapkan barisan peserta pameran, pertandingan, seminar, demo produk dan peluang rangkaian.

“Tahun ini zon produk dan jenama baru adalah hasil penyelidikan pasaran selama setahun dan promosi untuk memenuhi potensi industri kecantikan di Malaysia dan rantau ini.

“Kami amat bertuah kerana mendapat sokongan daripada APHCA, BUHA, Industri Cosbeauty Korea (KCIC), MBMUAA, Persatuan Perdagangan Antarabangsa PKS Malaysia (Smita) dan Persatuan Spa dan Kesihatan Malaysia (SWAS). Acara ini semakin berkembang saban tahun dan menawarkan profesional industri kecantikan dengan platform terbaik untuk pembelajaran, promosi dan menarik bakat baru bagi memenuhi perubahan keperluan pengguna,” katanya.

Sumber – http://www.hmetro.com.my/node/175300

Advertisements
This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.