MARA perbaharui kerjasama bersama SPRM.

Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad (tiga kiri) bersama Pengerusi MARA, Tan Sri Annuar Musa (tengah) bertukar dokumen memorandum persefahaman dengan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM. -foto oleh MiziBTKM

Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad (tiga kiri) bersama Pengerusi MARA, Tan Sri Annuar Musa (tengah) bertukar dokumen memorandum persefahaman dengan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM. -foto oleh MiziBTKM

Ahmad Soffian Mohd Shariff
media@mara.gov.my

19 Oktober – MARA kekal komited dalam menyemai budaya integriti dalam kalangan warganya dengan memperbaharui kerjasama bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia melalui satu majlis menandatangani memorandum persefahaman di sini hari ini.
Menurut Pengerusi MARA, Tan Sri Datuk Seri Panglima Annuar Haji Musa, pembaharuan kerjasama yang telah terjalin antara MARA dan SPRM yang telah termetrai sejak 2012 merupakan bukti MARA serius dalam menitikberatkan nilai integriti yang tinggi sebagai teras utama perkhidmatannya.

“Selaku organisasi yang menjunjung amanah rakyat, kerjasama ini merupakan bukti MARA terkehadapan dalam memastikan tadbir urus korporat yang baik malah turut bekerjasama dengan SPRM melalui pelbagai aktiviti pencegahan serta kesedaran tentang isu rasuah kepada para pelajar Institusi Pendidikan MARA (IPMa) serta kepada pelajar tajaannya,” katanya

Sementara itu, Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad berkata, kerjasama antara kedua-dua agensi akan diteruskan sebagai iltizam untuk mewujudkan organisasi yang bebas dari segala bentuk rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan secara berterusan yang boleh menjejaskan imej agensi dan jabatan kerajaan.

“Sejak kerjasama ini dimeterai, persepsi dan tahap kebolehpercayaan masyarakat umum terhadap integriti warga MARA bertambah positif yang mana kesannya dapat dirasai melalui peningkatan kualiti dalam sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” ujarnya.

Memorandum persefahaman yang dimeterai ini menetapkan terma-terma rujukan yang akan digunapakai oleh MARA seperti menyediakan latihan dan pendidikan, penyaluran perlakuan jenayah rasuah ke SPRM serta pelaksanaan program pakatan bestari antara kedua-dua agensi.

Selain pelaksanaan pembudayaan bahaya rasuah di IPMa, program turut melibatkan warga kerja MARA seperti kursus Corruption Risk Management (CRM), majlis menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) serta melatih enam pegawai MARA di bawah Program Certified Integrity Officer yang dikendalikan oleh Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA).

Turut hadir di dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato’ Shamsun Baharin Mohd Jamil serta Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Tuan Haji Abdul Samat Kasah.

Advertisements
This entry was posted in Korporat and tagged , , . Bookmark the permalink.