4,030 Peminjam Terima Insentif Pinjaman MARA

image-8-10

KUALA LUMPUR – Sebanyak 4,030 peminjam menerima pemberian Insentif (Diskaun) Pinjaman Pelajaran Majlis Amanah Rakyat (MARA) setakat 11 Oktober tahun ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata jumlah insentif yang diberikan adalah sebanyak RM17.82 juta melibatkan jumlah bayaran balik sebanyak RM28.95 juta.

“MARA menyediakan kemudahan pinjaman pelajaran di pelbagai peringkat pengajian bagi melahirkan graduan untuk memenuhi keperluan negara ke arah negara maju.

“Pelajar yang layak terima skim ini perlu membuat pembayaran balik pinjaman bagi terus menikmati kemudahan yang sama,” katanya.

Beliau menjawab soalan Anuar Abd Manap (BN-Sekijang) mengenai jumlah penerima insentif diskaun pinjaman pelajaran MARA bersempena sambutan ke-50 MARA mulai 25 Mac hingga 31 Disember tahun ini serta implikasi kewangan yang terlibat di bawah insentif tersebut.

Nanta berkata, pelbagai program telah dilaksanakan bagi membolehkan pelajar menjelaskan pinjaman pelajaran antaranya program kesedaran di peringkat negeri dan daerah, serta kerjasama dengan institusi lain bagi penyelesaian pembiayaan semula.

Katanya, rundingan bersama pihak MARA boleh dilakukan untuk sama-sama mencari jalan penyelesaian agar pelajar dapat melunaskan bayaran balik baki pinjaman.

“Kita lebih menggalakkan mereka tampil bekerjasama. Kerana itu kita beri mereka diskaun, belum sampai ke tahap yang terlalu tegas kerana MARA ingin membantu pelajar-pelajar,” katanya. – Bernama

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.