MARA lakar kejayaan bangunkan teknousahawan

Ismail Sabri Yaakob (tengah) merasmikan Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Kuantan. Turut sama hadir, Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad (tiga kiri).

Ismail Sabri Yaakob (tengah) merasmikan Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Kuantan. Turut sama hadir, Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad (tiga kiri).

KUANTAN 15 Okt. – Majlis Amanah Rakyat (MARA) terus melakar kejayaan dalam bidang pendidikan termasuklah pembangunan teknousahawan di negara ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perbezaan sistem pendidikan MARA dengan yang lain adalah dari aspek program keusahawanan dan penerapan nilai itu dalam diri para penuntutnya.

”Maka tidak hairan apabila institusi pendidikan di bawah MARA merupakan penyumbang utama kepada pembangunan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di negara ini daripada pe­ringkat sijil hinggalah ijazah.

”Pelaksanaan TVET melalui Institut Kemahiran MARA (IKM) dan Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) diperkenal menerusi Diploma Teknousahawan Rekabentuk dan Pengeluaran Perabot serta Diploma Tekno­usahawan Per­cetakan Fabrik pada tahun ini,” katanya ketika berucap me­rasmikan KKTM Kuantan di sini, kelmarin.

Yang hadir sama Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad.

Menurut Ismail Sabri, program tersebut bukan sahaja mendedahkan penuntut kepada dunia sebenar perniagaan tetapi memberi mereka peluang untuk mendapatkan kepercayaan daripada masyarakat menerusi kualiti produk setaraf dengan yang sedia ada di pasaran.

”Kejayaan MARA dalam pembangunan teknousahawan ini harus dipuji terutama melalui program Mobile Technical Servi­ces (MTS) yang mana penuntut didedahkan dunia keusahawanan sebenar dengan memasarkan perkhidmatan teknikal di lokasi masing-masing.

”Inisiatif ini dijalankan sejak tahun lalu dan hasil pendapatan pada tahun ini sebanyak RM815,000 melalui 28 buah syarikat. Pendapatan ini mereka capai semasa dalam pengajian,” ujar beliau.

Tambah Ismail Sabri, antara bidang yang ditawarkan kepada orang ramai adalah elektrik dan elektronik, penyaman udara, automotif, pembuatan perabot, kejuruteraan am, pembinaan dan penyelenggaraan mesin.

Katanya lagi, hasil program inkubator yang dijalankan IKM, KKTM dan MARA Japanese Industrial Institute (MJII), sebanyak RM2.5 juta pendapatan dijana melalui 92 buah syarikat bertaraf inkubator.

Sementara itu, berhubung KKTM Kuantan, beliau berkata, ia merupakan kolej pertama yang menawarkan kursus diploma dalam bidang kejuruteraan pembuatan dan menjadi KKTM yang keempat dibangunkan MARA.

Menurutnya, KKTM Kuantan mula beroperasi pada 9 Mei 2008 dengan pengambilan pertama seramai 53 penuntut dan 18 pensyarah.

”KKTM Kuantan menawarkan lima bidang kejuruteraan pembuatan seperti proses dan teknologi, automasi industri dan robotik, kualiti dan produktiviti, reka bentuk pembuatan dan pembuatan automotif,” ujarnya.

Kata beliau, pengajian selama tiga tahun bukan sahaja menggunakan peralatan berteknologi tinggi malah turut memberi pendedahan kepada keusahawanan dan menerapkan nilai insaniah kepada penuntut menerusi aktiviti kemasyarakatan serta pertandingan.

”Saya berharap menerusi pe­rasmian KKTM Kuantan dengan kos keseluruhan pembinaan sebanyak RM250 juta, MARA terus menjadi peneraju kepada pembangunan TVET negara.

”Sebagai memenuhi permintaan guna tenaga kerja mahir, KKTM Kuantan juga dipilih menjalani program ijazah sarjana muda kejuruteraan di bawah Universiti MARA (UniMARA) selain KKTM Ledang, KKTM Petaling Jaya dan MJII,” katanya.

Sumber : http://www.utusan.com.my/bisnes/usahawan/MARA-lakar-kejayaan-bangunkan-teknousahawan-1.395454

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan, Usahawan and tagged , , , . Bookmark the permalink.