Pendidik MARA perlu fokus keusahawanan bukan sekadar lahirkan insan makan gaji

Annuar Musa (tengah) bersama warga kerja dan sebahagian pelajar Mara di IKM, Kota Kinabalu, Sabah, semalam. gambar - UTUSAN/IRWAN MAJID

Annuar Musa (tengah) bersama warga kerja dan sebahagian pelajar MARA di IKM, Kota Kinabalu, Sabah, semalam. gambar – UTUSAN/IRWAN MAJID

KOTA KINABALU 10 Okt. – Golongan pendidik di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) serta institusi-institusi kemahiran Majlis Amanah Rakyat (MARA) diingatkan agar tidak terikat dengan sistem pe­ngajaran konvensional, sebaliknya perlu menanam ilmu keusahawanan di dalam diri setiap pelajar.

Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, fokus dalam mendidik pelajar sepatutnya tidak hanya bertujuan melahirkan mo­dal insan yang sekadar makan gaji tetapi perlu pandai mencipta peluang pekerjaan sendiri melalui bidang keusahawanan selepas tamat belajar.

“Zaman telah berubah dan saya tidak mahu para pelatih yang lahir dari Institut Kemahiran MARA (IKM) ini makan gaji, sebaliknya menceburi bidang keusahawanan berdasarkan kursus yang diambil sewaktu pengajian.

“Sebagai contoh, pelatih kursus elektrik kini boleh tampil sebagai seorang usahawan membaik pulih kelengkapan elektrik berbanding bekerja dengan syarikat elektrik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Pertemuan Pengerusi MARA dengan pelajar dan warga kerja MARA di IKM, di sini hari ini.

Dalam pertemuan itu, Annuar turut mengingatkan setiap kakitangan MARA supaya menolak politik kebencian yang dilaungkan pemimpin pembangkang, bertujuan menanam perasaan benci kepada kerajaan.

Annuar berkata, warga agensi itu sepatutnya berpegang teguh di belakang kerajaan, sekali gus membantu kerajaan mendukung aspirasi negara menjelang Wawasan 2020.

“Kakitangan dan pelajar di bawah MARA dilihat cenderung kepada politik kebencian berbanding memilih politik bekerja atau bersatu.

“Ada di antara pelajar lebih percaya kepada maklumat tidak sahih yang dilempar pemimpin pembangkang, perkara ini tidak betul. Mereka perlu diingatkan mengenai tanggungjawab dan siapa yang selama ini membantu mereka,” katanya.

Tambah beliau, setiap kakitangan MARA perlu rasional dalam apa sahaja keputusan dan tidak pernah memilih bulu atau me­minggirkan pembangunan terma­suk kebajikan warga kerja agensi itu di negeri ini.

Sumber –  http://www.utusan.com.my/berita/nasional/pendidik-mara-perlu-fokus-keusahawanan-1.393521

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan, Usahawan. Bookmark the permalink.