KEKAL MEMBELA KAUM BUMIPUTERA

img-20161010-wa0016

Annuar beramah mesra bersama hadirin di Majlis Engagement Pengerusi MARA bersama warga kerja dan pelajar MARA Sabah di Institut Kemahiran MARA (IKM) Kota Kinabalu, Sabah.

oleh Ahmad Soffian Mohd Shariff
media@mara.gov.my

Kota Kinabalu, 10 Oktober – Agenda perjuangan memartabatkan golongan Melayu dan Bumiputera yang telah termaktub di bawah penubuhan MARA akan diteruskan.

Menurut Pengerusi MARA, Tan Sri Annuar Musa kewujudan MARA telah memberikan impak positif yang amat besar kepada golongan pribumi bukan sahaja di Semenanjung Malaysia malah turut memberi kesan yang amat positif kepada Sabah dan Sarawak.

“MARA telah mengangkat martabat golongan Bumiputera yang satu ketika dikenali dengan kadar kemiskinan yang tinggi dengan membuka ruang dan peluang untuk mereka memajukan diri sendiri sama ada melalui pendidikan mahu pun peluang-peluang keusahawanan,” katanya.

Tegas beliau, sebelum Malaysia ditubuhkan, golongan Bumiputera tidak mempunyai kekuatan ekonomi bahkan ketinggalan di dalam bidang pendidikan sehinggalah kerajaan mewujudkan institusi seperti MARA untuk memperjuangkan hak golongan Bumiputera.

Beliau berkata demikian di Majlis Engagement Pengerusi MARA Bersama Warga Kerja dan Pelajar MARA Sabah di Institut Kemahiran MARA (IKM) Kota Kinabalu, Sabah yang dihadiri lebih 1,000 warga kerja dan pelajar dari pelbagai Institusi Pendidikan MARA (IPMa).

Disamping itu Annuar juga mengingatkan kepada hadirin bahawa perjuangan yang dijunjung oleh MARA adalah untuk kelestarian bukan sahaja golongan Bumiputera tetapi dengan kemajuan yang dinikmati oleh golongan ini secara langsung dapat membangunkan Malaysia.

“Apa yang dinikmati oleh golongan Bumiputera pada hari ini adalah hasil daripada gerak kerja kerajaan sedia ada untuk memastikan agar golongan ini tidak ketinggalan dariada arus permodenan dan ini membuktikan kita telah memberikan yang terbaik kepada mereka dan marilah kita bersama-sama bangkit merapatkan saf demi kemajuan Malaysia,” tambahnya lagi.

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.