MARA didik 1.2 juta pelajar sejak 50 tahun lalu

image

WAJAH gembira graduan Kolej Profesional MARA selepas menerima diploma pada majlis konvokesyen di PICC Putrajaya semalam. mingguan/RASHID MAHFOF

PUTRAJAYA 8 Okt. – Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah mendidik 1.2 juta pelajar menerusi institusi pendidikan MARA dan program penajaan di dalam serta luar negara sepanjang 50 tahun lalu.Ahli Majlis MARA, Prof. Emeritus Datuk Dr. Abu Azam Md. Yassin berkata, daripada jumlah tersebut, lepasan MARA telah mencapai 84 peratus kebolehpasaran dan menyumbang 37 peratus kepada keperluan tenaga kerja negara.

Menurutnya, MARA dijangka terus menyumbang kepada ke­perluan tenaga kerja negara memandangkan pada hari ini agensi itu mempunyai 340 pusat pendidikan dari peringkat menengah hingga universiti dengan enrolmen sebanyak 120,490 pelajar.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa Pelan Pembangunan Pendidikan MARA telah mencapai matlamat melahirkan modal insan berpendapatan tinggi dalam memacu pembangunan negara maju.

“Namun, usaha MARA tidak akan berhenti setakat di sini sahaja dengan kita akan meneruskan langkah penambahbaikan dan transformasi pendidikan demi melahirkan modal insan berkualiti tinggi,” katanya ketika berucap dalam majlis konvoke­syen Kolej Profesional MARA (KPM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau menyam­paikan sijil dan diploma kepada 1,586 graduan KPM seluruh negara dalam pelbagai bidang seperti perbankan Islam, komunikasi bahasa Inggeris dan perniagaan tani.

Abu Azam memberitahu, MARA merupakan satu-satunya agensi di negara ini yang menggerakkan program integrasi keusahawanan dan pendidikan dalam kurikulum pembelajaran bagi memupuk minat pelajar menceburi keusahawanan.

Katanya, sehubungan itu, pelajar-pelajar institusi pendidikan MARA diwajibkan untuk menyertai program pembudayaan keusahawanan yang bermula seawal mereka melapor diri.

“Di samping itu, MARA menyediakan kemudahan pembiayaan perniagaan seperti Program Usahawan Teknikal dan Program Pembia­yaan Putra untuk lepasan institusi pendidikan Mara bagi yang mahu menceburi bidang perniagaan,” katanya.

“Seiring wawasan 50 tahun MARA, kita terus berusaha untuk melahirkan bangsa usahawan dalam kalangan pelajar dengan memberi penekanan bahawa mereka bukan lagi pencari kerja tetapi pencipta kerja,” katanya

Sumber : http://m.utusan.com.my/pendidikan/sekolah/mara-didik-1-2-juta-pelajar-8232-sejak-50-tahun-lalu-1.392494

Advertisements
This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.