KONSISTEN LAHIRKAN GRADUAN DALAM BIDANG PROFESIONAL

Majlis Konvokesyen Kolej Professional MARA 2016 dirasmikan oleh YBhg. Prof. Emeritus Datuk Dr. Abu Azam Md Yassin yang berlangsung di PICC Putrajaya

Majlis Konvokesyen Kolej Professional MARA 2016 dirasmikan oleh YBhg. Prof. Emeritus Datuk Dr. Abu Azam Md Yassin yang berlangsung di PICC Putrajaya

oleh Ahmad Soffian Mohd Shariff
media@mara.gov.my

PUTRAJAYA, 8 Oktober  –  Seramai 1,586 graduan dari pelbagai bidang menerima diploma di Majlis Konvokesyen Kolej Profesional MARA kali ke-9 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Ahli Majlis MARA, YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr Abu Azam bin Md Yassin berkata, Kolej Profesional MARA (KPM) menawarkan peluang pendidikan di peringkat diploma dalam pelbagai bidang di peringkat Higher National Diploma (HND) dan Diploma yang bertujuan menambah bilangan serta meningkatkan kemahiran guna tenaga Bumiputera dalam bidang perdagangan, perakaunan, teknologi maklumat, komunikasi dan keusahawanan. 

“Kebanyakan program yang ditawarkan dibangunkan sendiri oleh KPM dengan menggunakan kepakaran pensyarah berpengalaman termasuk dari Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan dan luar negara melalui pelbagai kerjasama dalam usaha melahirkan graduan yang memenuhi kehendak industri,” ujarnya lagi.

Abu Azam turut menyatakan bahawa kini KPM turut mengadakan program-program pendidikan dengan kerjasama institusi dalam dan luar negara seperti Universiti Islam Antarabangsa dalam program Diploma in Islamic Banking & Finance dan juga Universiti of South Australia dalam program Diploma in English Communication.

“Sistem pendidikan KPM memberi penekanan kepada pembangunan modal insan berteraskan nilai murni selain mempunyai kemahiran dan pengetahuan akademik yang tinggi mengikut perkembangan terkini dalam melahirkan modal insan yang mempunyai pekerti dan sahsiah yang terpuji, berintegriti, mempunyai daya serta minat berinovasi bercirikan keusahawanan,” kata beliau.

Konvokesyen kali ini menyaksikan 21 graduan menerima Anugerah Graduan Terbaik Program 2016 dan beberapa anugerah khas turut diterima berdasarkan kecemerlangan graduan semasa menuntut di KPM.

Antara kursus yang ditawarkan oleh KPM adalah Perakaunan, Perniagaan, Keusahawanan, Pengurusan Logistik, Komunikasi Bahasa Inggeris, Media Kreatif Digital, Perniagaan Antarabangsa, Perniagaan Tani dan Perbankan Islam.

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.