Guna teknologi pasar produk

Tims Clothing antara usahawan muda kelahiran MARA yang kini semakin mendapat sambutan

Tims Clothing antara usahawan muda kelahiran MARA yang kini semakin mendapat sambutan

BATU PAHAT – Selaras perkembangan teknologi hari ini, usahawan mempunyai pelbagai cara yang boleh digunakan untuk memasarkan produk mereka.

Antaranya menggunakan kaedah yang lebih mesra pelanggan iaitu teknik visual dan video korporat, menerusi penggunaan internet serta aplikasi telefon bimbit.

Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) Johor, Teh Arfah Kamarul Zaman berkata, pihaknya menggalakkan usahawan menggunakan teknologi yang ada, di mana kebanyakan pelanggan kini lebih gemar berbelanja secara atas talian.

Menurutnya, dengan kesedaran itu MARA telah bekerjasama dengan beberapa usahawan yang berkecimpung dengan teknologi dalam meningkatkan produk masing-masing dan program itu dikenali sebagai ‘Boost Your Market With MARA’.

“Dalam Booth Your Market With MARA ini, kita menggabungkan tiga kaedah teknologi terkini iaitu penggunaan teknik visual membabitkan video untuk memperkenalkan produk masing-masing yang dibangunkan oleh Rangkaian Bisnes Usahawan Johor (Johor Biz), yang diusahakan Nor Latifah Ali Syaiful.

“Manakala, bagi pemasaran produk melalui aplikasi telefon bimbit pula dibangunkan oleh Bizzapp yang diusahakan Saiful Ismadi Mohamed Ismail, di mana pelanggan pertama yang menggunakannya ialah Boys of Street.

“Dan kaedah terakhir yang digunakan melalui program yang dianjur MARA ini ialah menggunakan internet. Jika sebelum ini berbelanja hanya melihat barangan, tapi selepas ini pelanggan boleh pilih barangan seperti dalam kedai melalui internet,” katanya.

Jelasnya, projek itu dibangunkan bersama syarikat Wau360 yang dimiliki pelawak terkenal, Shahrol Shiro yang membolehkan usahawan memperkenalkan produk masing-masing menerusi internet.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa program Gerak Usahawan 2016, yang diadakan di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), semalam.

Program itu dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi; Naib Canselor UTHM, Prof Datuk Mohd Noh Dalimin dan Pengarah Eksekutif Pusat Pembangunan Usahawan (EDC) Johor, Hahasrin Hashim.

Sementara itu, Saiful Ismadi berkata, dengan penggunaan aplikasi telefon bimbit yang dibangunkan Bizzapp ini, ia dapat menjimatkan kos untuk pemasaran, di mana jika sebelum ini usahawan perlu menggunakan material tertentu untuk promosi seperti kertas dan sebagainya.

Bagi Shahrol, dengan menggunakan teknologi terkini yang mengaplikasikan penggunaan internet, ia akan dapat dilihat oleh semua pelanggan di seluruh dunia, berbanding dengan hanya membuka premis yang produk usahawan hanya dapat dilihat secara fizikal oleh pelanggan.

Pada promosi ‘Boost Your Market With MARA’ yang diadakan di UTHM, seramai 10 usahawan pertama yang mendaftar aplikasi itu akan mendapat diskaun 80 peratus geran daripada MARA

Terdahulu dalam program Gerak Usahawan yang turut mendapat kerjasama EDC, diadakan promosi oleh usahawan yang terlibat secara langsung dalam industri pakaian dengan memperagakan produk mereka melalui Local Fashion Show.

Antara usahawan pakaian tempatan yang terlibat ialah Lanun Johor, Wan Ashoe, Stickybox, Chenta Watie Scarf, Tims, Bangsa Johor dan Awood Eyewear.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/johor/guna-teknologi-pasar-produk-1.568462

maranet-650px-x-450pxrt

Advertisements
This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.