MARA Smart Education di semua MRSM

Ahmad Jazlan Yaakub (empat dari kiri) bersama Ibrahim Ahmad melancarkan gimik perasmian 21st Century Learning Design, MARA Smart Education Summit 2016 di Kuala Lumpur, semalam. UTUSAN/Nasirruddin Yazid

Ahmad Jazlan Yaakub (empat dari kiri) bersama Ibrahim Ahmad melancarkan gimik perasmian 21st Century Learning Design, MARA Smart Education Summit 2016 di Kuala Lumpur, semalam. UTUSAN/Nasirruddin Yazid

KUALA LUMPUR 23 Sept. – Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan memperluaskan program pembelajaran yang memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), MARA Smart Education ke semua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) selepas program perintisnya berjaya membantu meningkatkan tahap akademik pelajar.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, program perintis MARA Smart Education yang melibatkan kerjasama dengan Telekom Malaysia (TM) dan Microsoft Malaysia menawarkan akses maklumat di hujung jari melalui penggunaan Internet di 12 kampus MRSM yang terpilih di seluruh negara.
“Program Smart Education berjaya membantu 78,000 pelajar dan 8,000 guru dalam tempoh tersebut. Kejayaan dicapai selepas melihat pelajar lebih cepat dan mudah memahami selain menghafal mata pelajaran selepas menggunakan program ini.

“Justeru, program ini akan diperluaskan ke seluruh 56 kampus MRSM secara berperingkat,” katanya selepas merasmikan 21st Century Learning Design, MARA Smart Education Summit 2016 di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad.

Ahmad Jazlan berkata, pe­nganjuran seminar tersebut akan membantu MARA dalam mengadakan dan menempatkan infrastruktur yang diperlukan untuk melaksanakan program tersebut di semua kampus MRSM.

Beliau menambah, MARA mempunyai 6,000 bahan pem­belajaran termasuk mata pelajaran matematik yang disediakan untuk program tersebut.

“Platform MARA Smart Education memberi peluang kepada MARA untuk meneroka strategi inovatif dan kreatif dalam me­ningkatkan pencapaian dan kemahiran pelajar untuk memba­ngunkan tenaga kerja mahir negara yang bersedia menghadapi tuntutan dan keperluan pada masa hadapan.

“Program ini juga menunjukkan badan konglomerat seperti Telekom Malaysia Bhd. (TM) dalam membantu meningkatkan prestasi pendidikan dengan menyalurkan kepakaran dan bantuan teknikal melibatkan teknologi digital,” katanya.

– Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/MARA-i-smart-education-i-di-semua-mrsm-1.386402

Advertisements
This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.