MEMACU SISTEM PENDIDIKAN BERTEKNOLOGI TINGGI

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub sedang bersiaran langsung menerusi aplikasi 'Skype' serentak dengan pelajar di MRSM TMFS dan MRSM Pengkalan Hulu Perak

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub sedang bersiaran langsung menerusi aplikasi ‘Skype’ serentak dengan pelajar di MRSM TMFS dan MRSM Pengkalan Hulu Perak.

oleh Ahmad Soffian Mohd Shariff
media@mara.gov.my
KUALA LUMPUR,  23 September –  Menyokong transformasi ke arah pembelajaran abad ke-21, MARA mengorak langkah terkehadapan dengan melancarkan program 21st CLD ( Century Learning Design ) MARA SMART EDUCATION SUMMIT 2016 di sini hari ini.

Menurut Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, 21st CLD MARA SMART EDUCATION SUMMIT 2016 merupakan satu program kolaborasi antara MARA, Microsoft dan Telekom Malaysia untuk membangunkan teknologi pendidikan untuk digunapakai di seluruh Institusi Pendidikan MARA (IPMa).
“Terdapat dua komponen utama di dalam melaksanakan Program MARA Smart Education ini iaitu aplikasi dan jaringan penghubungan komprehensif yang dilaksanakan dengan kerjasama Microsoft seperti sistem pengurusan pembelajaran, pengurusan kandungan, pentaksiran sekolah, video pembelajaran (Panopto) serta platform komunikasi media sosial untuk mempertingkatkan proses pengajaran dan pembelajaran di IPMa,” katanya.

Ahmad Jazlan turut menjelaskan bahawa kolaborasi turut diadakan bersama Telekom Malaysia bagi menyediakan kelajuan internet 30 Mbps di setiap IPMa di seluruh negara di samping penyediaan jaringan wifi hotspot di semua kampus IPMa dengan kapasiti keterhubungan sepantas 1 Gbps bagi memastikan aplikasi MARA Smart Education dapat digunakan dengan pantas dan efisien.
“Dengan adanya kedua-dua komponen ini, pembinaan modul pembelajaran terbaru dapat diadaptasi dan diintegrasikan dengan mudah serta pantas sekali gus memudahkan pendidik dan pelajar untuk berkomunikasi secara lebih efektif melalui kemudahan pantas dalam memuatnaik bahan, bank soalan, kuiz dan sebagainya,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan bahawa inisiatif yang dicetus ini membuktikan MARA sememangnya organisasi yang peka terhadap arus kemajuan dan teknologi terutamanya dalam menyediakan sistem pengajaran dan pembelajaran yang terkini dalam melahirkan modal insan cemelang kepada negara.

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.